SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Danish Akmal Tidak Mahu Dibayangi Azeem, Mahu Cipta Rekod Sendiri 

08/08/2024 10:57 AM

Oleh Nur Afiradina Arshad

IPOH, 8 Ogos (Bernama) -- Pelari pecut Perak Muhamad Danish Akmal Abdul Kadir, 17, boleh dianggap sebagai pelapis baharu di negeri ini selepas kejayaan melahirkan jaguh pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi yang mewakili negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Danish yang pertama kali mewakili negeri Perak dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 berkata beliau tidak mahu dibayangi Muhammad Azeem, sebaliknya mahu mencipta rekod tersendiri kerana pentas SUKMA edisi kali ini adalah titik permulaan beliau dalam acara 100 meter itu.

“Sebelum ini ada juga saya bertanya dan meminta pendapat dengan Azeem, namun beliau menasihati saya supaya berlatih dan rancang sendiri keperluan dan kaedah latihan secara biasa kerana bimbang sekiranya tidak mampu mengikut caranya. 

“Namun beliau adalah pendorong saya, membangkitkan semangat dalam mengekalkan minat terhadap acara ini iaitu sukan olahraga. Lagipun dia pernah kata pada saya keep moving, jangan pandang belakang dan jangan fikirkan orang lain,” katanya ketika ditemui Bernama pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Negeri Perak 2024.

Danish berkata dia dan Azeem menuntut di sekolah yang sama iaitu di Sekolah Sukan Malaysia Bukit Jalil, dan pelari pecut negara itu merupakan senior yang banyak memberi semangat dan tunjuk ajar dalam bidang olahraga.

Beliau berkata sepanjang tempoh menjalani latihan, rekod terbaik pernah dicatat adalah 10.80 saat, namun beliau meletakkan sasaran untuk membuat catatan 10.50 saat dan ke bawah.

Beliau yang turut mengambil bahagian dalam acara 200 meter (m) pada SUKMA nanti berkata dalam masa 14 hari yang tinggal ini, beliau dan jurulatih membuat latihan yang lebih ringan bagi mengelak sebarang kecederaan tapi pada masa yang sama berusaha mengekalkan prestasi.

Sementara itu Jurulatih Pelari Pecut Perak Gokulavanan N.Krishnan berkata selepas membuat penilaian dalam tiga kejohanan baru-baru ini beliau mendapati prestasi Danish ketika ini cukup memberangsangkan.

“Jadi menerusi kejohanan itu prestasi dia nampak meningkat, kerana tahun lepas dia mengalami kecederaan dan kini sudah pulih sepenuhnya dan dapat mengekalkan kelajuan pada tahap yang sama,” katanya.

Beliau berkata Danish sememangnya pelari pelapis bagi negeri Perak, kerana Azeem telah melangkah ke peringkat lebih tinggi dan Danish berpotensi menyertai SUKMA sebanyak dua kejohanan lagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan