SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Thurgashree Teruskan Misi Buru Pingat Meskipun Buah Pinggang Diserang Virus

10/08/2024 08:36 PM

Oleh Siti Azila Alias

BUKIT MERTAJAM, 10 Ogos (Bernama) -- Biarpun dibelenggu masalah kesihatan, atlet angkat berat Pulau Pinang T. Thurgashree tidak mahu mengaku kalah dan tekad dengan misinya untuk menggenggam pingat di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Thurgashree, 18, yang akan bertanding dalam kategori wanita tidak melebihi 45 kilogram (kg), enggan menjadikan kesakitannya sebagai alasan, apatah lagi dia menjadi satu-satunya harapan buat kem angkat berat Pulau Pinang.

Menceritakan detik hitam dalam kariernya, anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata buah pinggangnya telah diserang virus pada April lepas sehingga menyebabkannya terpaksa menjalani rawatan selama 10 hari di hospital.

"Pada mulanya memang kecewa sangat sebab saya sasarkan pingat emas untuk SUKMA kali ini dan sudah berlatih sejak lebih setahun tetapi tiba-tiba jatuh sakit. Kalau sebelum ini mudah saja bagi saya untuk buat angkatan 70kg tetapi sekarang nak angkat 30kg pun terasa lemah.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana orang di sekeliling memberi sokongan membuatkan saya bersemangat untuk berjuang melakukan sehabis baik walau dalam keadaan apa sekalipun," katanya kepada Bernama di Wisma Angkat Berat Bukit DO, di sini.

Selain bapanya,  M.Thanabalasingam yang juga jurulatihnya, kakaknya yang juga pemenang pingat emas angkat berat SUKMA 2016, Logassree, 23, menjadi tulang belakang dalam meneruskan impian meraih pingat di pentas SUKMA.

"Kali terakhir Pulau Pinang meraih pingat emas dalam acara angkat berat ialah pada 2016 dan kakak saya penyumbang pingat. Sebab itu nak berusaha untuk emas tetapi dalam keadaan sekarang saya harap pada hari pertandingan dengan sokongan semua, saya boleh melakukan yang terbaik," katanya.

Sementara itu, Thanabalasingam gembira dengan prestasi ditunjukkan anaknya walaupun dalam keadaan masih melawan kesakitan dan tetap menaruh keyakinan bahawa atlet muda itu mampu melakukan kejutan.

Dari segi latihan, beliau berkata Thurgashree menjalani latihan lima hari smeinggu secara berselang-seli memandangkan anaknya itu masih dalam proses pemulihan selain tidak mahu memberikan tekanan.

“Apa yang berlaku sudah pasti merencatkan sedikit persiapan dan latihan memandangkan dia ditahan di wad untuk satu jangka masa lama iaitu 20 hari. Malah saya menyuruhnya bersara saja tapi dia tak mahu dan masih hendak bertanding," katanya.

Beliau berkata Thurgashree yang sempat menyertai dua kejohanan selepas keluar dari hospital iaitu Zealfit Weightlifting Championship 2024 di Kuala Lumpur dan Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2024 di Johor pada Jun lepas, telah meraih masing-masing pingat emas dan perak.

Thanabalasingam turut berterima kasih kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang yang mengambil berat perkembangan kesihatan anaknya dengan menyediakan pakar perubatan terbaik untuk memberikan rawatan susulan sekali gus memastikannya berada pada tahap terbaik.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Angkat Berat Pulau Pinang (PABPP) Mohd Faruk Abdul Rahman berkata Pulau Pinang menghantar hanya satu atlet angkat berat memandangkan atlet pelapis belum mencapai kriteria untuk ke SUKMA.

“Kita simpan dulu, gilap lagi untuk edisi akan datang kerana angkat berat berbeza dengan sukan lain kerana untuk bangunkan atlet sudah mengambil masa lama dan atlet yang kita bawa kali ini pun dah pernah menyertai SUKMA,” katanya.

SUKMA 2024 akan membuka tirai 17 Ogos ini dengan acara angkat berat dijadual pada 19 hingga 23 Ogos depan di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan dekat Betong, membabitkan penyertaan 300 orang atlet dan pegawai.

Sebanyak lapan acara dipertandingkan masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita mengikut format pertandingan ditetapkan badan induk Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) iaitu pemenang hanya diberi satu pingat bagi jumlah angkatan keseluruhan terbaik iaitu snatch dan clean and jerk.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan