SUKAN > BERITA

Komitmen Tinggi Jurulatih Dorong Dominasi Skuad Boling Padang Terengganu

13/08/2024 02:49 PM

KUCHING, 13 Ogos (Bernama) -- Boling padang cukup sinonim dengan kontinjen Terengganu yang merupakan kuasa besar sukan itu selepas muncul juara keseluruhan dalam dua edisi Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum ini.

Ketua Jurulatih Boling Padang negeri Zulkepli Abd Wahab berkata antara rencah kepada kejayaan skuad itu di SUKMA ialah komitmen tinggi barisan jurulatih antaranya sanggup mengendalikan latihan pada bila-bila masa.

Selain itu, Zulkepli yang sudah menabur bakti hampir 20 tahun membimbing Terengganu berkata Persatuan Boling Padang Terengganu juga memainkan peranan penting membangunkan sukan ketepatan tersebut di negeri Pantai Timur itu.

“Kami dari segi atlet khususnya dari aspek latihan, ramai jurulatih yang bersedia untuk berikan latihan tak kira masa.

“Satu lagi kita dibantu AJK (ahli jawatankuasa) persatuan sendiri yang komited kepada pembangunan sukan boling padang dengan membantu para jurulatih dan (proses) penyediaan atlet untuk buat persediaan setiap kejohanan,” katanya ketika ditemui Bernama di Arena Lawn Bowls Sarawak, di sini, hari ini.

Terengganu hari ini memulakan perjuangan untuk mengekalkan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut apabila saingan boling padang SUKMA 2024 membuka tirai dengan aksi pusingan awal di sini.

Zulkepli berkata skuad boling padang lelaki Terengganu ketika ini rata-ratanya dibarisi muka baharu manakala pasukan wanita menggandingkan pemain muda dan senior.

Meskipun begitu, katanya Terengganu tetap meletakkan harapan tinggi dengan menyasarkan pencapaian tiga pingat emas seperti edisi lepas.

“Sasaran kita tidak banyak, tiga emas daripada sembilan (keseluruhan), saya rasa dengan prestasi yang begitu cemerlang ditunjukkan pemain-pemain kami, saya rasa mungkin dapat mengatasi sasaran itu,” katanya tanpa mendedahkan butiran sasaran itu.

Beliau turut menjangkakan Johor, Sarawak, Wilayah Persekutuan, Perak dan Selangor akan memberikan tentangan sengit dalam mencabar kejuaraan selepas sering berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik.

Acara boling padang yang menawarkan keseluruhan sembilan pingat emas bermula hari ini hingga 23 Ogos.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan