SUKAN > BERITA

Jasamu Dikenang, Stephanie Dedikasi Emas Buat Jurulatih

15/08/2024 10:21 PM

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Atlet wushu tuan rumah Stephanie Ngu Chai Ern mendedikasikan kemenangan istimewa diraihnya semalam buat jurulatih yang tidak pernah berputus asa membimbingnya sejak berusia 12 tahun.

Menurut Stephanie, sejak lapan tahun di bawah bimbingan Lau Hui Wei, beliau merupakan satu-satunya atlet yang belum menyumbang pingat emas buat Sarawak.

Beliau yang membuat penampilan terakhir di pentas SUKMA kali ini menyifatkan kejayaan diraihnya itu adalah hasil kerja keras dan simbol kepercayaan individu bergelar jurulatih.

“Saya dedikasikan emas ini kepada jurulatih saya (jurulatih wushu Sarawak Lau Hui Wei) kerana dia mengajar saya bermula dari SUKMA pertama saya ketika saya berumur 12 tahun, dia mengajar saya sehingga sekarang, sudah 8 tahun tetapi saya tak pernah dapat pingat emas untuknya.

“Kami mempunyai impian yang sama. Kami berharap saya dapat pingat emas. Sebelum itu, ramai atlet di bawahnya semua dapat pingat emas dan dia tak berputus asa dengan saya,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyampaian pingat di Dewan Wushu SSC, di sini.

Stephanie, 20, menjadi penyumbang pingat emas pertama kontinjen Sarawak selepas mengungguli acara changquan wanita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di sini, semalam.

Ini merupakan percubaan kali keempat selepas meraih dua pingat gangsa pada edisi 2016, serta masing-masing satu perak dan satu gangsa pada 2018 dan 2022.

Sementara itu, Hui Wei berkata anak buahnya itu layak mengecapi kejayaan selepas lapan tahun berusaha keras dan melalui pelbagai cabaran.

“Saya sangat terharu dengan kejayaannya. Dia bekerja keras sehingga hari ini, kami sering berkomunikasi kerana dia sentiasa mencari cara untuk mencapai prestasi terbaik.

“Perancangan saya dan dia selepas ini kalau pasukan kebangsaan nak serap dia ia adalah satu peluang yang sangat baik, tetapi kalau tidak kami bincang mungkin dia boleh jadi seorang jurulatih,” katanya.

Stephanie yang mengatasi atlet Johor Lee Jia Rong semalam, akan meneruskan cabaran dalam acara jianshu wanita akhir di sini, petang ini.

Wushu, sukan yang menggabungkan elemen seni mempertahankan diri dan estetika pergerakan menawarkan keseluruhan 28 pingat emas sepanjang tiga hari pertandingan bermula semalam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan