SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Terengganu Raih Emas Berganda Acara Berbasikal

15/08/2024 02:35 PM

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Terengganu mendominasi sukan berbasikal apabila meraih dua pingat emas dalam acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi, 20, meraih pingat emas acara individu selepas menamatkan saingan sejauh 146.4 kilometer (km) di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem di sini dengan catatan masa 3 jam 39 minit 16 saat.

Pingat perak acara individu itu dimenangi pelumba Johor Muhammad Faheem Razem M Zaini yang turut merakam masa 3:39.16s manakala Ren Bao Tsen yang mewakili Wilayah Persekutuan di tempat ketiga dengan catatan 3:39:18s.

Kegembiraan Muhamad Iqbal membawa pulang pingat emas dalam penampilan kedua dan terakhir pada temasya dwitahunan itu lebih bermakna apabila turut membantu Terengganu membolot emas bagi kategori berpasukan dengan jumlah keseluruhan 10:59:25s.

Kejayaan Muhamad Iqbal bersama rakan sepasukan Kee Zhe Yie, Mohamad ‘Afi Danial Ramli, Muhammad Afiq Iskandar Hasyim, Mohamad Aiman Haiqal Mohammad Khairul dan Muhammad Adam Ramdzan Razali itu turut mengulangi pencapaian Terengganu meraih emas dalam dua kategori sama pada SUKMA 2016 yang turut berlangsung di negeri ini.

Perlumbaan yang bermula di hadapan Politeknik Kuching dan berakhir di lokasi sama itu juga menyaksikan Johor dibarisi Muhammad Nazirul Aniq Abd Rahman, Muhammad Adam Danish Afdzal, Muhammad Faheem Razem M Zaini, Heng Zi Hen, Muhammad Amin Ashraff Azizan dan Muhammad Hariz Md Hazri membawa pulang pingat perak dengan catatan 11:00:58s.

Pingat gangsa diraih pasukan Wilayah Persekutuan terdiri daripada Muhammad Iqmal Mohd Zarawi, Newjoe Lau, Afif  Hazreen Azhar, Putra Haikal Rosnizam, Ren Bao Tsen dan Ren Han Tsen dengan merekod masa 11:01:00s. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan