SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: Pengamal Media Puas Hati Layanan Tuan Rumah, Aplikasi 'SUKMA XXI' Mudahkan Kerja

17/08/2024 12:54 PM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Pengamal media yang berkampung di Sarawak untuk membuat liputan berita Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 nyata berpuas hati dengan kemudahan dan layanan diberikan pihak tuan rumah.

Naib Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) Hazreen Mubarak berkata aplikasi ‘SUKMA XXI’ Sarawak 2024 yang dibangunkan bagi orang ramai mendapatkan maklumat dan berita berkaitan temasya dwitahunan kebangsaan itu secara masa nyata amat memudahkan tugasnya.

Hazreen yang juga wartawan penyiaran TV3 berkata aplikasi itu banyak membantunya dalam pelaporan terutama mendapatkan jadual, keputusan pertandingan dan pungutan pingat terkini dengan pantas.

“Berbanding edisi SUKMA yang pernah saya buat liputan sebelum ini, sekiranya mahu mengakses maklumat dan keputusan, kena layari laman web.

“Bagi saya aplikasi yang dibangunkan ini menjadi pengubah keadaan yang memudahkan kerja pengamal media,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Wartawan Kosmo!, Mohd Fitrie Muhammad yang pernah membuat liputan temasya SUKMA 2016 di negeri ini turut mengakui suasana cukup berbeza pada edisi kali ini.

“Saya akui penganjuran semakin baik. Selain aplikasi SUKMA XXI, kemudahan yang disediakan untuk pengamal media cukup bagus dan memudahkan tugas saya,” katanya.

S. Saktesh daripada The Star turut berpuas hati dengan layanan petugas di setiap venue pertandingan.

“Mereka sangat membantu terutama pegawai teknikal. Kalau bertanya berkenaan sesuatu, mereka akan cuba cari jawapan dengan pantas.

“Pusat media turut dilengkapi kemudahan Internet dan makanan setiap masa, sampai tak sempat untuk lapar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan