SUKAN > BERITA

‘Ubi Muda’ P. Pinang Tamat Penantian Lebih 20 Tahun Emas Sepak Takraw Berpasukan Lelaki

17/08/2024 01:11 PM

BINTULU, 17 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang menamatkan penantian lebih 20 tahun untuk meraih pingat emas berpasukan lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Pada perlawanan akhir berlangsung di Stadium Muhibah di sini, Pulau Pinang yang mempertaruhkan ‘ubi muda’ serta beberapa muka baharu, tampil garang menewaskan Selangor 2-0.

Regu A diketuai Danial Iman Hasbullah membuka gelanggang dengan aksi cemerlang untuk menang mudah 15-6, 15-9 sebelum Regu B Pulau Pinang melengkapkan kemenangan jaguh Pulau Mutiara itu 15-11, 15-12.

Selangor terpaksa berpuas hati dengan pingat perak manakala juara bertahan, Terengganu pula meraih gangsa selepas mengecewakan Melaka 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Saingan sepak takraw yang bermula pada 14 hingga 23 Ogos ini, menawarkan lapan pingat emas melibatkan lelaki dan wanita.

Jurulatih Pulau Pinang Mohamad Fazil Mohd Asri berkata penantian lebih 20 tahun untuk pasukannya meraih pingat emas kategori berpasukan lelaki terjawab hari ini dan ia merupakan kejayaan manis yang tidak akan dilupakan.

“Saya bangga melihat 13 pemain muda kami beraksi dengan baik. Hanya seorang sahaja pemain skuad kali ini yang mempunyai pengalaman beraksi dalam SUKMA lepas.

“Kebanyakan pemain ini telah melakukan persiapan sejak di bangku sekolah lagi. Di peringkat Majlis Sukan Negeri, kami mempunyai program (step) hingga mereka diserapkan ke skuad SUKMA dan ia merupakan satu proses yang panjang untuk mencapai kejayaan ini,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir di sini.

Sementara itu, tekong utama Pulau Pinang Ikhwan Syafiq Mohamad Fitri, 20, yang beraksi dalam Regu A berkata pemburuan pingat emas skuad Pulau Pinang akan beralih kepada kategori regu pula.

“Saya bersyukur dengan kejayaan diperoleh hari ini dan kemenangan ini juga adalah hasil bimbingan jurulatih kami (Mohamad Fazil) dan Abdul Rahimi Azizan serta guru-guru di Sekolah Sukan Mutiara Impian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan