SUKAN > BERITA

Walid Dedikasi Kemenangan Bersejarah Emas Sukma Buat Arwah Ibu

17/08/2024 02:36 PM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- “Saya harap mama bangga,” luah Walid Lackhar yang menyumbang pingat emas pertama kontinjen Brunei selepas 10 tahun pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di sini.

Atlet wushu yang meraih emas acara daoshu lelaki itu mendedikasikan pingat dimenanginya buat Allahyarham ibunya Rosnah Awang Tengah yang meninggal dunia dua tahun lepas akibat kanser.

“Biarpun mama telah tiada, saya harap dia bangga dengan pencapaian ini. Saya dedikasikan pingat emas buat arwah,” katanya kepada Bernama di Dewan Wushu SSC di sini.

Berkongsi cerita mengenai ibunya yang sentiasa memberi motivasi, atlet berusia 20 tahun itu berkata Allahyarham sering menghantar beliau dan kakak, Basma Lackhar, yang juga atlet wushu Brunei ke sesi latihan dan menunggu hingga tamat.

“Memandangkan bapa bekerja, jadi mama yang mengambil tanggungjawab mengantar kami menjalani latihan. Arwah tidak putus memberikan sokongan hingga akhir hayatnya,” katanya.

Sementara itu, Walid menyimpan hasrat untuk mengikuti jejak Basma, 21, yang telah mengharumkan nama Brunei dalam sukan berkenaan di pentas antarabangsa. 

Basma mencatat sejarah sebagai atlet Brunei pertama memenangi pingat perak pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China, dalam acara gabungan taijiquan dan taijijian wanita.

Walid yang membuat penampilan kedua di SUKMA meraih mata tertinggi 9.613 untuk emas pertama kontinjen Brunei dalam acara wushu menewaskan atlet Melaka Ronn Lee yang mengutip perak (9.593 mata) dan gangsa dimiliki Kwan Yin Jie (9.590 mata) dari Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan