SUKAN > BERITA

Kelantan Warriors Gabung Pemain Berpengalaman, Baharu Harungi STL 2024

21/08/2024 09:49 PM

KOTA BHARU, 21 Ogos (Bernama) -- Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak) menggabungkan pemain berpengalaman dan baharu dalam pasukan Kelantan Warriors dalam usaha membolehkan pasukan itu melangkah ke Liga Premier dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) tahun ini. 

Presiden Gastak Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata gabungan itu diharap dapat menampilkan permainan berkualiti untuk dipersembahkan kepada penyokong negeri ini.

Beliau berkata Gastak menjalinkan hubungan dan kerjasama dengan beberapa pihak yang telah bersetuju menjadi penaja bagi pasukan pada tahun ini.

"STL telah memasuki satu dekad penganjurannya dan pada tahun ini kejohanan bagi saingan Division 1 akan dianjurkan bermula 26 hingga 30 Ogos 2024 bertempat di Dewan MBMB Bukit Serindik, Melaka. Pasukan Kelantan Warriors akan bersaing dalam saingan Liga Division 1 pada edisi kali ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Memperkenalkan Pemain dan Penaja Pasukan Sepak Takraw Kelantan Warriors STL 2024 di sini hari ini dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad.

Abdul Fattah berkata pasukan Kelantan akan bersaing dengan sembilan lagi pasukan dalam liga yang sama untuk merebut dua slot di peringkat akhir.

"Pada tahun ini diperkenalkan format baharu dengan dua pasukan yang memasuki final pada Liga Division 1 akan layak automatik untuk bersaing pada Liga Premier pada tahun ini juga.

"Kelantan Warriors pada tahun ini akan turun dengan matlamat dan hasrat untuk mengisi slot final di Division 1, seterusnya layak ke Liga Premier," katanya.

Beliau berkata menyedari cabaran dan saingan daripada pasukan lain, pasukan itu tampil dengan kekuatan dan kemampuan tersendiri menerusi pemilihan pemain oleh pengurusan pasukan yang dilakukan secara terperinci.

"Kita mengambil kira bedah siasat dan laporan daripada prestasi pasukan pada tahun lepas dan kejohanan dilalui termasuk melalui penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Kelantan Open 2024 yang lepas," katanya.

Biarpun berhadapan keterbatasan masa dan kewangan, mereka dapat daftarkan pemain terbaik dan berpengalaman yang sudi mencurahkan khidmat untuk Kelantan Warriors pada tahun ini, tambah beliau.

Barisan pemain diperkenalkan yang akan membawa lencana Kelantan Warriors bagi Saingan STL 2024 ialah Muhammad Fakhrul Akmal Mohd Nakoin (tekong), Siwakorn Thanaka (tekong), Mohd Haikal Mohamad Jamil, Rusdee Leerem (import dari Thailand), Muhamad Adli Abu Bakar, Ahmad Badrie Amin Azmi dan Muhammad Amirul Amir Mohd Alwi (tekong) yang dikendalikan Ketua Jurulatih, Rukman Mustafa. 

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan