SUKAN > BERITA

PDRM FC Lancar Portal Rasmi, Lantik Amir Masdi Sebagai Duta

16/10/2024 06:52 PM

PETALING JAYA, 16 Okt (Bernama) -- Pasukan PDRM FC hari ini melancarkan laman portal rasmi dan melantik penyanyi Amir Masdi sebagai duta pasukan sebagai usaha meningkatkan imej skuad Sang Saka Biru itu dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PDRM FC ASP Mohamad Hafiz Zainal Abidin berkata langkah itu bertujuan mengembangkan lagi jenama pasukan serta dapat menarik lebih ramai penyokong ke stadium.

“Kita berharap jenama PDRM FC ini dapat dikembangkan lagi dan sudah tentu mahu tarik lebih ramai orang datang menonton perlawanan kita. Semua sedia maklum, kalau perlawanan membabitkan pasukan yang kedudukannya berada tidak berapa baik, boleh dibilang berapa jumlah penonton (yang hadir).

“Kalau kita boleh cipta satu acara bersama rakan kolaborasi, mungkin daya tarikan itu lebih,” katanya pada sidang media Pengumuman Radio Rasmi, Duta dan Laman Portal Rasmi PDRM FC di Menara Star di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohamad Hafiz berkata peminat yang mendaftar akan menikmati pelbagai manfaat dan keistimewaan terutama dalam pembelian produk-produk pasukan menerusi laman portal itu.

Sementara itu, Amir atau nama penuhnya Amir Syaswan Masdi berkata ini merupakan kali pertama beliau dilantik sebagai duta kelab bola sepak dan juara pertandingan nyanyian realiti televisyen swasta pada 2016 itu teruja untuk mengajak peminatnya supaya turut memberikan sokongan kepada PDRM.

“Mungkin pada masa depan saya akan menulis lagu untuk PDRM FC, mungkin lagu tema, mungkin (juga) ada video musik dengan pemain supaya saya punya pengikut dari segi persembahan akan sokong PDRM FC dan pasukan PDRM FC serta PDRM sendiri akan menyokong karya itu.

“Ini situasi menang-menang bagi saya sebagai peminat bola sepak untuk menjadi sebahagian daripada pasukan di Malaysia - PDRM FC dan saya sangat berbesar hati untuk berada di sini,” kata penyanyi berusia 28 tahun itu.

Dalam pada itu, majlis hari ini turut menyaksikan stesen radio swasta Suria FM diumumkan sebagai Radio Rasmi PDRM.

PDRM yang merupakan juara Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2023 ketika ini menghuni tangga kelima dalam saingan Liga Super 2024/2025 dengan mengumpul keseluruhan 15 mata selepas 11 perlawanan dan hanya terpisah dua mata dengan pasukan tempat ketiga Terengganu FC.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan