KOTA KINABALU, 19 Mei (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini menyampaikan insentif kemenangan berjumlah RM383,116 kepada atlet Sabah yang memenangi pingat di Sukan SEA dan Para ASEAN 2025 Thailand tahun lepas.
Berucap pada majlis penyampaian insentif berkenaan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu di sini, Hajiji berkata beliau berharap ganjaran yang diberikan itu menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh.
“Jangan jadikan kejayaan hari ini sebagai noktah, sebaliknya jadikan ia titik tolak untuk mencapai tahap yang lebih tinggi. Kepada jurulatih dan keluarga, sokongan daripada anda adalah tunjang kepada kejayaan ini,” katanya.
Sebanyak 91 atlet dari Sabah telah mewakili negara di Sukan SEA 2025 dan telah membantu kontinjen negara memenangi lima pingat emas, 14 perak dan 11 gangsa.
Bagi Sukan Para ASEAN pula, 22 atlet Sabah telah terpilih dan berjaya membawa pulang kejayaan dengan 14 pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa.
Hajiji berkata sebanyak RM146,500 insentif diberikan kepada pemenang pingat Sukan SEA manakala RM236,616 kepada pemenang pingat Sukan Para ASEAN.
Katanya kerajaan negeri sangat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan semua atlet terlibat dan akan terus memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi memastikan lebih banyak aktiviti dapat dijalankan di samping menyediakan prasarana sukan moden dari semasa ke semasa.
“Menerusi Dasar Sukan yang kita rancang, kerajaan berusaha ke arah pembentukan budaya sukan dan peningkatan tahap kesihatan rakyat negeri dengan memberikan peluang sama rata kepada semua lapisan.
“Saya percaya, Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah di bawah pimpinan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan akan terus berusaha merancang pembangunan yang lebih komprehensif dan jitu untuk Sabah mencapai tahap kemajuan yang lebih membanggakan lagi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial