WILAYAH - SELATAN > BERITA

UMNO N. SEMBILAN SEDIA GERAK JENTERA BANTU PRK SG BAKAP

22/06/2024 05:24 PM

JASIN, 22 Jun (Bernama) -- UMNO Negeri Sembilan bersedia untuk menggerakkan jenteranya bagi membantu calon Kerajaan Perpaduan Dr Joohari Ariffin meraih kemenangan sekali gus merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu yang bermula hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata walaupun tidak diberi tugasan khusus menjaga DUN Sungai Bakap, pihaknya telah menyusun atur gerak kerja untuk memberi sebarang bentuk bantuan yang diperlukan sepanjang tempoh berkempen yang berlangsung selama 14 hari.

“Paling utama adalah memastikan lebih 5,800 ahli UMNO (di Sungai Bakap) keluar untuk memberikan sokongan kepada calon PKR dan kita sendiri sedang susun gerak kerja dan akan masuk ke sana bermula minggu hadapan. 

“Biarpun tiada wakil UMNO yang bertanding, sebagai rakan dalam komponen Kerajaan Perpaduan, saya mengambil tanggungjawab membantu dan memastikan calon PKR ini boleh menang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jasin 2024 di sini hari ini. 

Beliau berkata jentera UMNO Negeri Sembilan akan menghulurkan bantuan yang sama seperti dilakukan di PRK sebelum ini termasuk di PRK Kuala Kubu Baharu dengan melibatkan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO. 

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) Joohari dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi PRK berkenaan pada 6 Julai, manakala pengundian awal pada 2 Julai.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan