WILAYAH - SABAH > BERITA

PASAR DUA TINGKAT PEKAN BELURAN DIJANGKA SIAP MEI TAHUN DEPAN

22/06/2024 08:30 PM

BELURAN, 22 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sabah menerusi Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) meluluskan pembinaan bangunan pasar rakyat dua tingkat di Pekan Beluran di sini dengan kos peruntukan RM2.5 juta dan dijangka siap pada Mei tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pasar itu bakal dilengkapi pelbagai fasiliti termasuk surau serta tandas sekali gus membantu 70 peniaga tempatan dan memberi keselesaan kepada pembeli.

Beliau berkata pasar sedia ada yang dibina pada 2002, iaitu lot gerai terbuka berbumbung yang menempatkan 51 peniaga, dilihat sudah tidak sesuai digunakan kerana usang.

Kemudahan perniagaan yang lebih besar, teratur dan selesa diperlukan bagi menempatkan bilangan peniaga yang semakin meningkat, katanya.

"Oleh itu saya berharap pembangunan projek pasar rakyat dua tingkat ini dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan, kerana ini adalah antara usaha kerajaan bagi meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat di daerah ini, selain prihatin akan keperluan penduduk di Beluran," katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Joachim Gunsalam sempena majlis pecah tanah projek berkenaan di sini hari ini.

Menurut Hajiji kerajaan Sabah komited dalam menyediakan kemudahan perniagaan yang teratur dan selesa kepada usahawan Bumiputera di pelbagai daerah untuk menjana ekonomi rakyat setempat bagi mencapai objektif Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Beliau turut menggesa ketua jabatan serta pemimpin masyarakat di Beluran memastikan projek pembangunan yang dirancang di daerah itu dilaksanakan secara berkesan, supaya semua kos perbelanjaan dimanfaatkan demi kepentingan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan