WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AIMAN PILIH CEBURI TERNAKAN LEMBU SECARA FIDLOT WALAUPUN MILIKI DIPLOMA PEMBUATAN

24/06/2024 01:10 PM

MARANG, 24 Jun (Bernama) -- Minat mendalam terhadap bidang perniagaan dan pertanian mendorong pemegang Diploma Pembuatan, Kolej Universiti TATI (UC TATI), Aiman Asyraf Kamarudin, 33, mengusahakan ternakan lembu secara fidlot.

Walaupun sudah memiliki kerja tetap sebagai penyelia projek di sebuah syarikat telekomunikasi, anak muda yang berasal dari Kampung Wakaf Mempelam, di sini nekad meninggalkan kerjayanya enam tahun lepas untuk bergelar penternak moden.

Keputusannya itu mendapat sokongan daripada kaum keluarga yang sentiasa memberikan galakan daripada aspek kewangan dan moral.

Mengimbas ketika awal pembabitan, Aiman Asyraf berkata beliau terfikir untuk mencuba bidang ternakan lembu fidlot selepas mendapati sebahagian besar bekalan daging lembu di pasaran tempatan datang dari negara luar.

"Saya bermula dengan lima ekor lembu sahaja di kawasan seluas setengah ekar di Kampung Tok Fakir, Mercang. Ketika itu banyak persepsi serta pandangan negatif diterima daripada masyarakat sekeliling.

"Namun semua kata-kata itu tidak melemahkan semangat saya. Daripada lima ekor lembu, saya berusaha keras dengan menubuhkan AIDEN Cattle Farm yang kini mempunyai lebih 40 ekor lembu dari baka Brahman, Charolais dan Limousine," katanya ketika ditemui di ladang Kampung Tok Fakir, Mercang, semalam.

Mengulas lanjut Aiman Asyraf berkata lembu yang diternak di ladangnya agak istimewa kerana diberi makanan berkualiti seperti jagung, silaj dan rumput segar selain pallet yang menjadi diet utama.

Beliau berkata hasilnya, tekstur daging haiwan berkenaan terutama daripada baka Charolais dan Limousine lebih bermutu kerana kurang lemak, padat dan lebih lembut.

Berikutan itu setiap tahun beliau sentiasa menerima banyak tempahan awal daripada pelanggan yang ingin mendapatkan lembu untuk tujuan ibadah korban.

"Boleh dikatakan syarikat kami adalah pembekal utama lembu korban di sekitar daerah Marang. Menurut pelanggan, lembu 'sado' (baka Charolais dan Limousine) di ladang kami lebih baik berbanding jenis sama yang dibeli dari penternak lain," katanya.

Aiman Asyraf berkata selepas enam tahun beroperasi, beliau kini memiliki tiga pekerja yang membantu menjalankan tugas rutin seperti memberi makanan ternakan serta membersih kandang.

Beliau turut dibantu adik perempuannya, Nur Syahirah Sufiah Kamarudin, 27, yang menguruskan urusan pentadbiran, kewangan dan pemasaran.

Beliau juga sering mengikuti kursus-kursus berkaitan yang dianjurkan oleh agensi kerajaan bagi memajukan bidang ternakan di samping membina jaringan perniagaan, dan berkat kesungguhannya itu, beliau terpilih sebagai calon Penternak Jaya 2024 Peringkat Daerah Marang oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu.

"Awal tahun ini AIDEN Cattle Farm turut mendapat pengiktirafan sebagai Kandang Bimbingan Jabatan Veterinar Negeri Terengganu. Melalui program ini, pihak jabatan akan memberi khidmat nasihat, memantau perkembangan ternakan dan menyalurkan bantuan yang sesuai dari semasa ke semasa," katanya.

Tidak terhenti di situ sahaja, Aiman Asyraf berkata Jabatan Veterinar juga berusaha membantu syarikatnya mendapatkan kawasan padang ragut untuk meningkatkan jumlah ternakan pada masa hadapan.

Beliau berkata ternakan lembu secara fidlot lebih baik berbanding kaedah integrasi kerana ia ditempatkan di kandang sepanjang masa, mudah dikawal dan tidak merosakkan tanaman penduduk setempat.            

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan