WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HANNAH HARAP ISU PAKAIAN RASMI KONTINJEN NEGARA TIDAK BERPANJANGAN

29/06/2024 06:10 PM

SERDANG, 29 Jun (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berharap isu pakaian rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan segera menemui titik noktah bagi mewujudkan suasana harmoni dalam kontinjen negara menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 dari 26 Julai sehingga 11 Ogos.

Hannah berkata beliau maklum bahawa Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan melakukan penambahbaikan terhadap reka bentuk jaket rasmi kontinjen negara dan menghormati badan induk itu sebagai satu institusi.

“Seperti yang saya nyatakan kita sudah kurang daripada 30 hari sebelum Olimpik, saya tak nak masalah ini berpanjangan. Kalau kita berdiri sini nak salahkan pihak A, pihak B dan C, ia takkan habis. 

“Dalam isu sukan bukan saja KBS (Kementerian Belia dan Sukan), semua pihak memainkan peranan terutama MOM dan MSN (Majlis Sukan Negara) dan saya nak kita pergi secara harmoni, satu pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Kejohanan Sukan Tempur Peringkat Kebangsaan 2024 di Dewan Bankuet Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Hannah berkata KBS dan MOM mempunyai hubungan yang baik dan itu yang dimahukan kedua-dua pihak demi kemajuan sukan negara.

Ahad lepas, pakaian rasmi kontinjen negara ke pelbagai temasya sukan berupa baju berkolar, baju T dan jaket diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.

Bagaimanapun, rata-rata peminat sukan tanah air di media sosial meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap rekaan itu yang didakwa sedikit terbelakang dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen negara sebelum ini.

Sementara itu, Hannah berkata penganjuran Kejohanan Sukan Tempur Peringkat Kebangsaan yang memasuki tahun selaras dengan keputusan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) untuk memfokuskan kepada tiga jenis sukan iaitu olahraga, renang dan sukan tempur.

“Dengan adanya kejohanan ini kita boleh melahirkan lebih ramai bakat baharu, itu yang penting,” katanya.

Sebanyak enam jenis sukan iaitu taekwondo, silat olahraga, silambam, muay, wushu dan tinju melibatkan keseluruhan 218 kategori lelaki dan wanita dipertandingan pada edisi kali ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan