WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PASTIKAN POKOK BANDAR 'SIHAT', ELAK RISIKO TUMBANG- PAKAR

03/07/2024 01:42 PM


From Soon Li Wei

Langit petang yang berubah gelap sudah cukup menjadikan Siti Nur Masyitah, 42, berasa cemas apatah lagi apabila angin mula bertiup kencang dengan diiringi hujan lebat yang hanya menambah kerisauan untuk dia pulang ke rumah.

Meskipun ada kalanya dia tidak memandu kereta ke tempat kerja di Jalan Imbi, sebaliknya mengambil pengangkutan awam dari rumahnya di Setiawangsa, eksekutif sumber manusia ini tetap berasa tidak selamat ketika berjalan kaki dari pejabatnya ke stesen Monorail yang jaraknya tidak sampai 500 meter.

Seperti juga ramai warga kota yang trauma dengan beberapa insiden pokok tumbang, termasuk tragedi menyayat hati membabitkan seorang maut dan seorang cedera yang berlaku di Jalan Sultan Ismail pada 7 Mei lepas, begitulah juga dengan Siti. 

Mungkin nyawa dia dan warga kota lain boleh diibaratkan sebagai 'telur di hujung tanduk' kerana risiko terdedah kepada kejadian pokok atau dahan tumbang. 

pic-2

"Pokok-pokok di sepanjang jalan raya memang nampak cantik dan dapat membantu menyejukkan suhu bandar. Namun jika tidak diuruskan dengan baik, ia boleh mengancam atau membahayakan keselamatan orang awam, infrastruktur serta bangunan di sekitarnya, lebih-lebih lagi apabila cuaca semakin tidak menentu akibat perubahan iklim. 

"Tambahan pula, pembangunan pesat turut menyebabkan banyak pokok yang tidak sepatutnya ditebang akhirnya ditebang dan ada juga yang patut ditebang tetapi dikekalkan di tempat asal namun tidak dipantau," katanya kepada Bernama. 

 

 

KES POKOK TUMBANG MENINGKAT 

Berdasarkan statistik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kes pokok tumbang menunjukkan peningkatan di seluruh negara.

Daripada 3,081 kes pada tahun 2021, sebanyak 3,358 kes dilaporkan pada tahun 2022, manakala pada tahun 2023, jumlah kes meningkat kepada 4,825 kes dengan 10 kematian dan 47 cedera.

Pada 4 Jun lepas, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan, bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2024, pihaknya merekodkan 1,085 kejadian pokok tumbang di seluruh negara.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad dipetik berkata dalam laporan sebuah akhbar tempatan, kejadian pokok tumbang berlaku akibat hujan lebat dan angin kuat yang melanda di seluruh negara bermula Januari 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa pula dillaporkan berkata pada 27 Jun, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menebang 173 pokok berisiko tinggi sejak tahun 2019.

Namun pakar-pakar berpendapat, langkah berkenaan tidak menjamin insiden pokok tumbang tidak akan berlaku pada masa akan datang, disebabkan pembangunan pesat akibat bilangan penduduk saban tahun semakin bertambah. 

Presiden Persatuan Arborist Malaysia (PArM) Mohd Zailani Jamil berpandangan, penting untuk melakukan pemeriksaan secara tetap di samping usaha mitigasi, bagi meminimumkan risiko ‘kegagalan’ pokok di bandar. 

"Pihak berkuasa dan pemegang taruh yang relevan perlu mengutamakan pelaksanaan pemeriksaan menyeluruh dan menjalankan program penyelenggaraan. Langkah ini bagi menjamin keselamatan pokok di kawasan bandar, " beliau memberitahu Bernama baru-baru ini. 

Menurut Mohd Zailani, insiden pokok tumbang ini sepatutnya menjadi peringatan untuk pihak berwajib menimbangkan keperluan penjagaan akar pokok dalam pembangunan kawasan sekitar.

"Akar pokok adalah penyumbang utama kepada kestabilan pokok, dan sebarang gangguan atau pemotongan akar pokok akan menjadikannya mereput, dan menjejaskan integriti struktur pokok berkenaan. 

"Oleh yang demikian, pelan pembangunan bandar perlu mengintegrasikan langkah untuk melindungi serta memelihara akar pokok bagi mengekalkan kestabilan pokok dalam masa jangka panjang," katanya.

 

 

KENAL PASTI POKOK 'SAKIT' 

Pegawai Penyelidik yang juga merupakan seorang arboris bertauliah di Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Abdul Hayat Mat Saad berkata, menjadi tanggungjawab bagi setiap penduduk mengurus bandar, memastikan pokok-pokok bandar sihat dan ia bukan hanya terletak pada satu-satu pihak sahaja.

Beliau berkata, penduduk bandar perlu menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menguruskan pokok di kawasan bandar.

pic-3

Orang ramai, tambahnya, harus mempunyai pengetahuan asas tentang kesihatan pokok-pokok, terutamanya yang ditanam di kawasan bandar bagi memastikan keselamatan awam terjamin serta dapat membantu dan memudahkan kerja PBT untuk mengenal pasti pokok 'sakit'. 

"Dalam proses penilaian pokok, kita boleh menggunakan kaedah 'penilaian secara visual ke atas pokok' yang merangkumi tiga peringkat: Peringkat pertama, melihat secara umum keadaan fizikal pokok-pokok”. 

"Peringkat kedua, penilaian secara '360' darjah iaitu pemeriksaan sekeliling kawasan pokok secara individu dengan memerhati lebih dekat keadaan tanah, batang pokok, dahan, ranting, daun dan akarnya”.

"Jika pada batang pokok itu tumbuh cendawan di atasnya, pokok itu berkemungkinan besar mengalami pereputan di bahagian dalamnya, barulah kita beralih kepada penilaian peringkat ketiga iaitu 'penilaian lanjut ke atas pokok' yang hanya boleh dijalankan oleh arboris bertauliah dengan menggunakan alat-alat tertentu," katanya. 

Menurut beliau, penting bagi orang awam untuk memaklumkan kepada PBT selepas mengenal pasti pokok-pokok yang berpotensi untuk tumbang ataupun menunjukkan tanda-tanda hampir mati ataupun sakit. 

"Tidak semua pokok perlu ditebang untuk mengelakkannya daripada tumbang. Keputusan tebangan pokok mengambil kira keadaan kesihatan pokok dan risiko di sekelilingnya. Ada pokok yang boleh diselamatkan melalui kaedah pemangkasan ataupun amalan baik arborikultur yang lain. Luka akibat kesan vandalisme atau jentera  yang besar pada pokok memerlukan pemantauan kerana pokok akan cuba pulih sendiri. 

"Pokok juga seperti manusia, jika mereka berasa tertekan dengan keadaan sekeliling yang kurang sesuai untuk pertumbuhan, ia mula akan menunjukkan tanda-tanda 'sakit'  yang dialami. Oleh kerana pokok tidak boleh berkata-kata, bahasa tubuh pokok ini perlu diberikan perhatian oleh manusia untuk keperluan rawatan ataupun sebagainya bagi mengelakkannya ia gagal pada masa hadapan," katanya. 

Abdul Hayat turut menasihati orang awam supaya tidak sesekali memaku bunting (gegantung) ataupun papan iklan di pokok-pokok yang ditanam di kawasan bandar kerana perbuatan ini menyebabkan luka. 

"Jika paku tidak dicabut dengan baik dan ditinggalkan begitu sahaja di batang pokok, maka ia akan mengundang patogen-patogen lain yang boleh menyebabkan pereputan dalaman pokok tersebut. Ini akan menyebabkan kesihatan pokok itu merosot lalu mendedahkannya kepada potensi kegagalan seperti tumbang, " katanya.

 

 

PERANCANGAN BANDAR YANG LEMAH 

Sementara itu, Perunding Kepelbagaian Biologi Surin Suksuwan berkata, insiden melibatkan ‘kegagalan’ pokok di kawasan bandar Kuala Lumpur baru-baru ini, sebahagian besarnya kerana pembangunan yang tidak sesuai, diburukkan lagi dengan perubahan iklim yang memberi kesan kepada pokok matang, tua dan besar.

"Bagi saya, masalahnya berpunca daripada perancangan serta pengluasan bandar kerana kita amat bergantung kepada kereta, yang membuatkan jalan raya terus dilebarkan.

"Apabila jalan raya dilebarkan, biasanya pokok tua perlu ditebang. Apabila ini berlaku, jalan raya serta laluan pejalan kaki menjadi tidak stabil seperti sebelumnya, dan membahayakan pejalan kaki, " katanya.

pic-4

Beliau menambah, perubahan iklim dan hujan yang semakin lebat daripada biasa di samping pembangunan infrastruktur dan kerja-kerja pembinaan bangunan, meningkatkan risiko kerosakan serta kecederaan ke atas pokok-pokok tua. 

Menurut Surin, penting juga mempunyai arboris di setiap majlis perbandaran bagi memastikan pokok di bandar diselenggara dengan baik.

"Menanam pokok yang betul di tempat yang betul adalah penting. Penting juga tahu kaedah memangkas pokok yang betul bagi mengelakkan dahan kecil daripada patah dan merosakkan harta awam sewaktu cuaca buruk, " tambahnya.

 

 

KEKURANGAN ARBORIS DI MALAYSIA 

Kekurangan arboris yang diperakui atau 'doktor pokok' di Malaysia pernah dibangkitkan oleh pelbagai pihak, termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, yang pada 26 Mei lepas menggalakkan PBT mengambil khidmat lebih ramai arboris bagi memperbaiki pengurusan landskap.

Menurut beliau, bagi tujuan berkenaan, semua pekerja landskap PBT perlu menghadiri kursus arboris yang dianjurkan oleh Jabatan Landskap Negara bagi memastikan matlamat itu dicapai.

Mohd Zailani, yang juga seorang arboris yang diperakui, pada masa ini terdapat kira-kira 150 arboris yang diperakui oleh Persatuan Arboriklutur Antarabangsa (ISA) di Malaysia, berbanding sekitar 400 di Singapura, jelas menunjukkan kekurangan pakar aborikultur di negara ini.

"Di beberapa buah negara maju, hanya arboris yang diperakui dibenar mengendalikan pokok awam bagi memastikan langkah mitigasi yang betul dijalankan," katanya.

Beliau lalu mencadangkan kerajaan untuk menimbang menyediakan insentif bagi mereka yang mahu mendapatkan persijilan serta menggalakkan arborikultur sebagai sebahagian daripada pendidikan teknikal.

Ini katanya, boleh menggalakkan lebih ramai arboris yang diperakui dalam perkhidmatan.

"Di PBT, kakitangan yang lulus peperiksaan dan menjadi arboris diperakui, dia perlu diiktiraf oleh jabatan dan skop kerjanya dijadualkan semula untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada arborikultur dan penjagaan pokok.

"Ini bagi menjamin sebarang perancangan bandar dan kerja pembinaan berhampiran pokok mendapat perundingan yang sewajarnya serta nasihat arboris bagi mengelakkan berlaku insiden pokok tumbang," katanya.

 

Disunting dan diterjemah oleh Melati Mohd Ariff


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan