WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SEKTOR PERINDUSTRIAN DIGALAK GUNA MOTOR ELEKTRIK BERKECEKAPAN TINGGI - ST

08/07/2024 03:09 PM

 KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Sektor perindustrian dicadang supaya menggunakan motor elektrik berkecekapan tinggi dalam operasi mereka bagi memastikan penggunaan elektrik dapat dioptimumkan, sekali gus menjimatkan penggunaan tenaga.

Timbalan Pengarah Unit Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga Suruhanjaya Tenaga (ST) Zulkiflee Umar berkata berdasarkan kajian yang dilaksanakan sebelum ini, kebanyakan motor elektrik yang masuk ke Malaysia tidak mencapai tahap minimum kecekapan elektrik yang diperlukan.

“Apabila komponen ini tidak cekap, maka bil elektriknya akan tinggi. Kita nak cadangkan supaya satu hari nanti kita laksanakan perkara ini menjadi mandatori, kita nak pastikan motor elektrik yang tidak cekap tenaga ini tidak lagi masuk ke Malaysia.

“Namun kita akui ia memerlukan pelaburan agak mahal, tapi dari segi penjimatan, pemain industri ini boleh nikmati penjimatan sekitar 20 hingga 40 peratus,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia bertajuk ‘Anda Jimat, Poket Selamat’ terbitan Bernama TV hari ini.

Sementara itu merujuk kepada Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Jun lepas, Zulkiflee berkata RUU itu bertujuan mempromosi dan mengawal selia penggunaan tenaga secara efektif dan menyeluruh di Malaysia.

“Alhamdlillah 25 Jun lepas kita sudah dapat kelulusan Dewan Rakyat, dan sekarang kita dalam proses untuk menyiapkan peraturan serta garis panduan yang akan diwartakan nanti,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengarah Unit Promosi dan Hubungan Luar ST Veliana Ruslan yang turut menjadi tetamu program itu ketika merujuk kepada amalan penggunaan elektrik bagi pengguna domestik berkata, masyarakat boleh mempraktikkan penggunaan elektrik secara berhemah.

Beliau berkata amalan seperti menutup suis lampu, modem, barangan elektrik, penghawa dingin apabila tidak digunakan termasuk membersihkan barangan elektrik seperti kipas berhabuk, mampu meningkatkan kecekapan elektrik dan memberi penjimatan sehingga 10 peratus kepada pengguna. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan