WILAYAH - SARAWAK > BERITA

TERNAKAN LEMBU, KERBAU DI SELANGOR DITANDA, MUDAHKAN KESAN PEMILIK

10/07/2024 02:20 PM

SHAH ALAM, 10 Julai (Bernama) -- Ternakan lembu dan kerbau di Selangor akan diberikan tanda pengenalan bagi memudahkan proses pengesanan pemilik serta pendakwaan di mahkamah sekiranya berlaku kemalangan membabitkan haiwan berkenaan yang berkeliaran.

Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim berkata perkara berkenaan antara tiga komponen diteliti dalam pemindaan Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 yang ketika ini dianggap mempunyai kelemahan dalam menangani hal itu. 

"Isu lembu rayau (berkeliaran) ini isu besar dan penting yang harus diselesaikan dengan kita tidak boleh membiarkan lembu dan kerbau merayau sehingga memasuki pasar raya, hospital dan jalan raya.

"Memang kena buat ‘tagging’ (penandaan) sebab sekarang tidak ada peruntukan berkaitan dengannya. Pengenalan ini bukan sahaja dapat mengenal pasti pemilik tetapi boleh jadi bahan pembuktian di mahkamah (jika berlaku kes kehilangan nyawa akibat nahas jalan raya)," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Harrison Hassan (PN-Jeram) sama ada kerajaan negeri akan melakukan penandaan kepada haiwan ternakan susulan lebih 10 kes kemalangan maut berlaku di Jeram, Kuala Selangor sejak setahun lepas.   

Izham berkata penambahbaikan itu akan dilakukan dari segi syarat pelesenan yang lebih teratur, penalti, bayaran serta kawasan bagi penternakan berkenaan. 

Beliau berkata sekiranya pemohon yang juga penternak tidak mempunyai tempat khusus untuk menternak haiwan itu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) tidak akan mengeluarkan lesen. 

“Semua pematuhan ini juga disertakan sekali terhadap Undang-Undang Kecil (UKK) di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Izham berkata kelemahan enakmen itu sedang diteliti menerusi draf pindaan yang disediakan JPV supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan lebih teratur serta efektif dan dijangka dimuktamadkan sebelum 31 Dis 2024 selepas mendapat kelulusan dan kajian oleh Penasihat Undang-Undang Negeri. 

“Selepas itu, kerajaan negeri akan melaksanakan sesi penerangan dan libat urus melibatkan pihak berkepentingan seperti pemimpin masyarakat, golongan penternak, beberapa jabatan serta agensi kerajaan dan sebagainya bagi tempoh enam bulan (moratorium) sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negeri. 

“Selepas moratorium, lembu yang berkeliaran ini akan tangkap dan pemilik akan dikenakan tindakan,” katanya.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan