WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KES DEMAM DENGGI TERUS MENINGKAT PADA MINGGU EPIDEMIOLOGI KE-27

12/07/2024 06:41 PM

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Kes demam denggi dilaporkan terus meningkat kepada 2,805 kes pada Minggu Epidemiologi ke-27 (ME 27) iaitu bagi tempoh 30 Jun hingga 6 Julai lepas berbanding 2,788 kes pada minggu sebelumnya, dengan lima kematian akibat komplikasi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME 27 adalah sebanyak 78,068 kes berbanding 61,545 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

"Terdapat 65 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 42 kematian bagi tempoh sama pada 2023," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME27 adalah sebanyak 86 lokaliti berbanding 78 pada minggu sebelumnya. 

Beliau berkata dari 86 lokaliti yang dilaporkan, 67 lokaliti di Selangor, enam lokaliti di Negeri Sembilan, lima lokaliti di Kedah, tiga lokaliti di Perak, dua lokaliti masing-masing di Pulau Pinang serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala satu lokaliti di Sarawak.

Beliau berkata bagi survelan chikungunya, terdapat enam kes direkodkan pada ME 27 dan tiada wabak chikungunya pada minggu itu.

Katanya, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 47 kes. 

Bagi survelan zika pula, beliau berkata sebanyak 1,388 sampel darah, tujuh sampel urin dan tiga sampel cairan tulang belakang telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.

Dr Muhammad Radzi berkata KKM menyarankan masyarakat awam untuk terus melakukan aktiviti 'Cari dan Musnah' tempat-tempat pembiakan aedes secara konsisten di kawasan persekitaran kediaman masing-masing sekurang-kurangnya 10 minit sekali seminggu. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan