WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AHMAD ZAHID HADIR PROGRAM FELDA BERSELAWAT

13/07/2024 12:02 AM

SERDANG, 12 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir Program Felda Berselawat yang disertai lebih 1,500 pengunjung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini malam ini.

Ahmad Zahid yang berjubah putih tiba kira-kira 9.20 malam diiringi Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Turut hadir Pengarah Besar Felda Datuk Amiruddin Abdul Satar dan Ketua Peneroka Kebangsaan Sulong Jamil Mohamed Shariff. 

Program dimulakan dengan bacaan doa, disusuli sesi alunan qasidah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Bacaan qasidah dan selawat dialunkan barisan artis seperti Datuk Nash, Aris Ariwatan, Yabang Khalifah, Kumpulan INTEAM, Mawi, Lah Ahmad dan Zaf VE, manakala sesi tausiyah (nasihat) disampaikan oleh Timbalan Mufti Pahang Datuk Badli Shah Alauddin.

Program Felda Berselawat ialah sebahagian daripada acara sambutan Hari Peneroka Felda yang diadakan bermula hari ini hingga Ahad dan bukan sehari seperti kelazimannya.

Pada program itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyampaikan Anugerah Masjid Contoh (AMC) dan Anugerah Tokoh Imam Felda (ATIF) bertujuan menghargai dan mengiktiraf masjid serta imam yang terus menongkat kecemerlangan dalam pembangunan ummah.

AMC diterima Masjid Nurul Iman Felda Palong 9,10 dan 11 Wilayah Segamat, manakala ATIF diterima Saiful Anam Alisaa dari Masjid Felda Sungai Behrang, Perak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan program itu pada Ahad ini dan bakal menghimpunkan 500,000 peneroka serta pengunjung dari seluruh tanah rancangan.

Hari Peneroka disambut pada 7 Julai setiap tahun dan ia telah ditetapkan oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein yang juga pengasas Felda.

Tarikh keramat itu merupakan penghormatan buat peneroka Felda yang telah menyumbang kepada pembangunan negara hampir 70 tahun lamanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan