WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SAYA TIDAK FITNAH LIM GUAN ENG, CUMA JELAS TENTANG SIASATAN SPRM - MUHYIDDIN

16/07/2024 05:00 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak memfitnah Lim Guan Eng berhubung isu pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary.

Sebaliknya bekas perdana menteri itu berkata beliau hanya memberi penjelasan kepada pihak media mengenai soalan berkaitan projek Jana Wibawa dan Yayasan Albukhary yang ditanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas siasatan dijalankan terhadapnya pada 9 Mac tahun lepas.

“Saya hanya menjelaskan kedudukan dan apa yang berlaku pada diri saya. Saya tidak mempunyai sebarang niat jahat, malah kenyataan itu bukan ditujukan kepada plaintif (Lim) sebaliknya menjelaskan tentang perkara yang sudah berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya pada hari kedua perbicaraan kes saman Lim terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu berhubung pembatalan pengecualian cukai Yayasan Albukhary.

“Perkara itu tentu telah berlaku semasa Pakatan Harapan merupakan kerajaan, dan pada masa itu plaintif adalah Menteri Kewangan. Saya tidak menuduh atau memfitnah beliau (Lim), saya cuma merujuk kerajaan ketika itu Pakatan Harapan, dan hakikatnya plaintif merupakan Menteri Kewangan,” katanya.

Selain itu Muhyiddin berkata LHDN berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan Menteri Kewangan bertanggungjawab terhadap keputusan yang diambil oleh jabatan-jabatan di bawahnya. 

“Oleh sebab itu apabila saya menerima surat daripada Yayasan Albukhary, saya telah meminitkan surat kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kerana beliau adalah Menteri Kewangan pada masa itu,” katanya.

Ditanya peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Lim, Muhyiddin bersetuju bahawa dalam surat rayuan daripada Yayasan Albukary tidak menyatakan Lim tidak mengiktiraf pengecualian cukai tersebut.

“Namun pada pemahaman saya, ketika Yayasan Albukhary tidak diiktiraf pengecualian cukai, Menteri Kewangannya adalah Lim Guan Eng,” kata Muhyiddin.

Lim pada 27 Mac 2023, memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook yang melibatkannya berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023. 

Laporan mengenai perkara itu kemudiannya diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu turut mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahguna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan