WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KELUARGA NUR FARAH KARTINI MOHON HENTI KELUAR KENYATAAN GURIS HATI

16/07/2024 06:43 PM

SUNGAI BULOH, 16 Julai (Bernama) -- Keluarga Nur Farah Kartini Abdullah yang ditemukan mati di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor petang semalam memohon pihak media dan orang ramai berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris hati keluarga. 

Kakak ipar mangsa Syeril Norsyuhada Suhaimi, 29, berkata mereka sekeluarga masih terkejut dan sedih atas kejadian yang menimpa Nur Farah Kartini, 25.

"Saya mohon semua pihak termasuk media memberi kami ruang untuk fokus pada proses bedah siasat dan proses pengurusan jenazah, apa yang saya boleh kongsi ialah proses bedah siasat akan selesai petang ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.

Sementara itu, abang mangsa Mohd Fariza Azmi Abdullah berkata keluarga tidak mengenali suspek lelaki yang didakwa sebagai teman lelaki adiknya itu.

Beliau berkata adiknya tidak pernah menceritakan apa-apa mengenai hubungan peribadi kepada ahli keluarga.

Ditanya mengenai keperibadian adik bongsunya itu dia berkata Nur Farah Kartini seorang yang ceria dan rapat dengan keluarga.

Mohd Fariza Azmi berkata adik perempuan tunggalnya itu sememangnya rapat dengan ibu dan ahli keluarga yang lain dan kali terakhir bertemu adiknya pada Aidilfitri yang lepas ketika mereka semua pulang ke Miri, Sarawak.

"Kami memang jarang berjumpa dan selama ini dia tak pernah bercerita apa-apa masalah kepada saya," katanya yang tinggal di Sri Kembangan, Selangor.

Semalam, media melaporkan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang pada Rabu lepas ditemukan mati di ladang berkenaan pada 6 petang dan seorang lelaki berusia 26 tahun yang dipercayai teman lelaki mangsa ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek seorang anggota polis bertugas di sebuah balai polis di Perak kini direman tujuh hari bermula hari ini.

Sebelum ini, mangsa yang bekerja dengan sebuah syarikat kereta sewa di Tanjung Malim, Perak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan pada 10 Julai lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan