WILAYAH - TIMUR > BERITA

PELAKSANAAN VOP KURANGKAN BEBAN KEWANGAN KONTRAKTOR

16/07/2024 09:28 PM

KUANTAN, 16 Julai (Bernama) -- Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP) dapat mengurangkan beban kewangan kontraktor selain memastikan projek dapat disiapkan dengan berkualiti dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Kelas F Negeri Pahang (PKKF) Ahmad Faiz Zulkifly berkata inisiatif kerajaan itu juga memberikan jaminan kepada kontraktor untuk melaksanakan projek tanpa kebimbangan terhadap perubahan harga yang tidak dijangka. 

"VOP juga memberi ruang kepada kontraktor untuk menyesuaikan harga kontrak mengikut harga bahan binaan yang sering berubah-ubah," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Sebelum ini media melaporkan kerajaan bersetuju secara dasarnya untuk melaksanakan VOP bagi membantu kontraktor yang berdepan kenaikan harga barangan binaan susulan penyasaran subsidi diesel sekali gus memastikan projek siap tepat pada masanya.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata keputusan yang diambil bagi meringankan beban kontraktor itu, sedang dalam proses perbincangan antara Kementerian Kewangan (MOF) dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Ahmad Faiz berkata pihaknya juga berharap VOP diberikan kepada semua gred kontraktor yang berhadapan dengan risiko kenaikan harga barang. 

"Kami pun kontraktor yang guna peralatan, bahan binaan sama jadi sepatutnya diberikan secara adil kepada G1 hingga G7," katanya. 

Dalam pada itu, beliau mendakwa kontraktor G1 di Kuantan tidak mendapat sebarang tawaran kerja daripada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sejak ia mula dilaksanakan beberapa tahun lepas. 

Projek ECRL sepanjang 665 kilometer adalah projek infrastruktur rel yang menghubungkan negeri-negeri di pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Selangor yang dijangka siap Disember 2026 sebelum beroperasi 2027. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan