WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERTUMBUHAN PENGGUNA KELAS PERTENGAHAN DI INDIA PACU EKSPORT MINYAK SAWIT MALAYSIA - JOHARI

18/07/2024 05:54 PM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 18 Julai (Bernama) -- Eksport minyak sawit Malaysia ke India akan terus meningkat seiring dengan pertumbuhan pengguna kelas pertengahan di India, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Tahun lepas, eksport minyak sawit dan produk minyak sawit dari Malaysia ke India berjumlah 3.3 juta tan metrik bernilai hampir US$3 bilion atau 13 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia, kata Johari.

"Melangkah ke depan, saya ingin mengesahkan komitmen Malaysia untuk menjadi sumber dipercayai minyak sawit berkualiti tinggi kepada India," kata Johari ketika menyampaikan ucaptama pada persidangan anjuran Persatuan Pengeluar Minyak Sayuran India (IVPA) di sini hari ini.

"Kami berdedikasi untuk menyokong keperluan keselamatan makanan India dan memupuk perkongsian yang stabil dan berkekalan dalam memenuhi permintaan pasaran penting ini," katanya.

Johari berkata penggunaan minyak dan lemak India adalah kira-kira 27.2 juta tan metrik pada 2023 dengan minyak sawit merangkumi sebanyak 36 peratus.

India menyaksikan permintaan yang lebih tinggi untuk minyak sawit dalam sektor makanan dan bukan makanannya.

Beliau berkata sejak sedekad lepas, penggunaan minyak dan lemak per kapita di India meningkat daripada 15.8 kilogram (kg) kepada 19 kg.

Trend pertumbuhan ini dijangka berterusan, didorong oleh golongan pertengahan yang berkembang, katanya.

“Kelas pertengahan kini mewakili 31 peratus penduduk dan dijangka 38 peratus menjelang 2031 dan 60 peratus pada 2047,” kata Johari.

Sementara itu, penggiat industri minyak sawit yang menghadiri acara itu menekankan keperluan untuk mengukuhkan kerjasama antara syarikat minyak sayuran Malaysia dan India.

Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, mengeksport lebih 80 peratus daripada 18.6 juta tan komoditi yang dikeluarkannya pada 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan