WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MTA ANJUR KEJOHANAN FUTSAL BAGI PROMOSI KESEIMBANGAN HIDUP-KERJAYA

20/07/2024 05:07 PM

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Bagi mempromosikan keseimbangan hidup dalam kalangan pengendali industri takaful negara, Persatuan Takaful Malaysia (MTA) menganjurkan Kejohanan Takaful4All Inter-TO Futsal 2024 di World of Sport, Subang Jaya dekat sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata kejohanan itu memberi peluang kepada pengendali takaful ‘melepaskan lelah’ dan menguatkan silaturahim di bawah payung Takaful4All. 

“Kita nak banyakkan aktiviti di luar kerja sebab kebanyakan aktiviti kita bersangkutan dengan kerja,”  katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata selain futsal, pihaknya turut memupuk minat gaya hidup sihat kepada pengendali takaful menerusi sukan boling dan larian ria yang sering mendapat sambutan mengalakkan daripada semua syarikat di bawah badan induk itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata pihaknya komited untuk terus bekerjasama dengan MTA kerana yakin sukan dapat meningkatkan tahap kesejahteraan mental dan fizikal manusia.

“Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, satu daripada tiga orang dewasa di Malaysia tidak aktif secara fizikal, satu statistik yang menunjukkan kepentingan keseimbangan pekerjaan dan kehidupan.

“Sehubungan itu, PruBSN bersama MTA sentiasa komited mempromosikan pelbagai inisiatif gaya hidup aktif bagi memupuk persekitaran lebih sihat dalam kalangan komuniti,” katanya.

PruBSN merupakan penaja platinum bagi kejohanan berkenaan.

Kejohanan Takaful4All Inter-TO Futsal 2024 itu disertai 25 pasukan daripada kakitangan AIA Public Takaful Bhd, AmMetLife Takaful Berhad, Etiqa Takaful Berhad, FWD Takaful Berhad dan Great Eastern Takaful Berhad. 

Selain itu, Hong Leong MSIG Takaful Berhad, MTA, PruBSN, Sun Life Malaysia Takaful Berhad, Syarikat Takaful Malaysia Berhad, Takaful Ikhlas Berhad serta Zurich Malaysia. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan