WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KDA FC, GOLD RUSH VENTURE JALIN KERJASAMA TAWAR PEMASANGAN PANEL SOLAR PERCUMA

20/07/2024 06:18 PM

ALOR SETAR, 20 Julai (Bernama) -- Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) hari ini mengumumkan kerjasama dengan Syarikat Gold Rush Venture Sdn Bhd bagi menawarkan pemasangan panel solar di bumbung kediaman secara percuma.

Pemilik KDA FC Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata menerusi kerjasama itu, pihaknya akan bertindak sebagai ejen pemasaran manakala Gold Rush Venture sebagai kontraktor yang memasang panel berkenaan.

“Ini satu projek yang memberikan kemudahan, jika tidak anda kena guna wang sendiri atau pinjaman bank untuk pasang panel solar di bumbung kediaman.

“Skim ini adalah untuk menjimatkan bayaran bil elektrik anda iaitu antara 30 hingga 60 peratus setiap bulan bergantung kepada cuaca di tempat anda tinggal dan sebagainya," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya teruja dengan kerjasama itu kerana bagi setiap kilowatt atau megawatt yang dijimatkan, KDA FC akan menerima sedikit pulangan dan ini dapat membantu kewangan pasukan Sang Kenari.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Gold Rush Venture Datuk Seri Sharizal Sarip pula berkata pihaknya berbesar hati untuk menjalin kerjasama dengan KDA FC bagi membantu rakyat Kedah yang berhasrat memasang solar panel itu.

Beliau berkata syarikat itu akan mengeluarkan kos bagi pemasangan, insurans dan penyelenggaraan sepanjang tempoh pemilik rumah menggunakan panel solar berkenaan.

"Tiada kos yang diselindung jadi orang ramai tidak perlu bimbang… cuma ada beberapa syarat iaitu penggunaan bil elektrik perlu lebih RM250, perlu ada sekurang-kurangnya 50 unit rumah dalam satu kawasan taman yang ingin memasang panel solar itu… apabila 50 pemilik unit rumah setuju, mereka akan diberikan borang," katanya.

Sharizal berkata pemilik rumah perlu menyediakan dokumen yang diperlukan dan selepas itu, borang dan dokumen terbabit akan diserah kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mendapatkan kelulusan.

"Pihak TNB akan berurusan terus dengan semua pemilik rumah yang dipilih... TNB beri kelulusan dan syarikat kami akan uruskan pemasangan.

"Jadi, saya berharap rakyat Kedah dapat menyertai pemasangan panel solar panel ini sekali gus dapat membantu KDA FC untuk lebih maju," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan