WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PELANCARAN BULAN KEBANGSAAN WADAH PATRIOTISME SUBURKAN SEMANGAT CINTA NEGARA

20/07/2024 07:19 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 20 Julai (Bernama) -- Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang berlangsung esok bakal menjadi wadah patriotisme untuk terus menyuburkan semangat kenegaraan dan cinta kepada negara.

Berkonsepkan karnival rakyat, program sehari di Cyberjaya itu padat dengan pengisian bermanfaat yang mampu mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat menuju Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.

Bermula dengan persembahan patriotik seawal 9 pagi, ia akan diteruskan dengan pelbagai program bersama masyarakat sebelum upacara kemuncak pada 2 petang yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia juga bakal menyaksikan kehadiran kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2024 Fahmi Fadzil serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Menjangkau edisi ke-12, program itu telah dilaksanakan sebanyak 11 kali di pelbagai lokasi seluruh negara sejak 2013 sebagai simbolik bermulanya sambutan Bulan Kebangsaan saban tahun.

Signifikan majlis pelancaran itu adalah bagi mengira detik menuju sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos di Putrajaya dengan momentum kemeriahan dan semangat patriotik akan terus disuburkan sehingga sambutan Hari Malaysia 2024 pada 16 Sept ini di Sabah. 

Antara pengisian majlis pelancaran itu ialah Karnival Kita MADANI X HKHM 2024, Permukiman Komuniti MADANI, Program Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI.

Karnival Kita MADANI X HKHM adalah acara komuniti melibatkan pelbagai aktiviti antaranya Persembahan Patriotik, Aktiviti Interaktif, Aktiviti Demonstrasi, Aktiviti Keusahawanan dan Perniagaan serta Perkhidmatan Untuk Anda dengan jangkaan lebih 5,000 pengunjung bakal memeriahkan program itu.

Permukiman Komuniti MADANI adalah program bicarawara santai dalam memperkasakan kefahaman mengenai dasar, inisiatif dan hala tuju kerajaan menghimpunkan ahli Komuniti MADANI di Semenanjung dengan menampilkan artis Datuk AC Mizal sebagai hos.

Program Jualan Rahmah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pula menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian antara 10 hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga biasa pasaran setempat.

Jualan Agro MADANI pula dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui tiga agensi pelaksana iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Tidak ketinggalan produk istimewa termasuk makanan dan kraf tangan dari pelbagai negeri akan turut dipamerkan sempena majlis itu.

Anwar juga akan melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang melibatkan 65 kenderaan dan 90 peserta sempena sambutan HKHM 2024. 

Konvoi itu termasuk empat unit kenderaan JAPEN, enam unit kenderaan Polis Diraja Malaysia (satu SUV dan lima motosikal) serta 50 motosikal berkuasa tinggi Kelab Suzuki V-Strom Malaysia akan mengelilingi seluruh negara bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024. 

Pada tahun ini, tema HKHM ialah 'Malaysia MADANI-Jiwa Merdeka' dengan Logo Malaysia MADANI dipilih sebagai logo sambutan. 

Pemilihan tema itu adalah perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat yang berbilang kaum, bersatu hati dan teguh jati dirinya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan