WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MYNIC Sasar Pertumbuhan Sehingga 10 Peratus Pengguna “.my” Pada 2025

28/07/2024 11:21 AM

PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- MYNIC Bhd (MYNIC), sebuah agensi di bawah Kementerian Digital, menyasarkan peningkatan lima hingga 10 peratus pengguna tempatan dan antarabangsa bagi domain .my menjelang 2025 daripada anggaran 400,000 pengguna menjelang akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata syarikat itu telah menerima banyak permohonan daripada pelbagai sektor, termasuk pertanian, pembuatan, teknologi dan perbankan.

“Kami menerima permohonan daripada syarikat tempatan dan antarabangsa. Dengan perniagaan baharu menyertai ekonomi digital, termasuk usaha niaga mata wang kripto, kami yakin sasaran tersebut dapat dicapai,” katanya kepada Bernama.

Hasnul turut menekankan matlamat agensi itu untuk menggalakkan usahawan mendaftarkan perniagaan mereka dengan domain .my untuk meluaskan jangkauan mereka.

Beliau memberi contoh kejayaan seorang penternak ayam yang menggunakan domain mereka. 

"Selepas melancarkan laman webnya menggunakan domain .my, jualan ayamnya meningkat daripada 500 kepada 2,000 sebulan, sehingga terpaksa bekerjasama dengan penternak lain kerana permintaan yang tinggi.

“Kerap kali kami melihat kisah kejayaan seperti ini,” katanya.

Hasnul berkata domain “.my” lebih daripada sekadar laman web, malah, ia mewakili identiti dan kredibiliti Malaysia yang kukuh, penting untuk menonjolkan kehadiran dalam talian secara profesional.

Justeru itu, untuk menggiatkan lagi pendaftaran domain “.my”, MYNIC aktif menganjurkan pertandingan dan kempen seperti  'RevUp and Register' Eid Adha pada bulan Jun lepas, dengan pemenang menerima jongkong emas seberat lima gram.

“Menyertai kempen RevUp dan Register bukan sahaja menawarkan peluang untuk memenangi hadiah yang hebat tetapi juga meningkatkan keterlihatan dan kebolehpercayaan jenama anda dengan ketara dalam landskap digital.

“Mereka yang berminat masih boleh mendaftarkan nama domain .my mereka melalui 18 pendaftar yang mengambil bahagian. Siapa tahu, anda mungkin pemenang hadiah kami bernilai RM200,000,” kata Hasnul.

Sempena sambutan kemerdekaan Malaysia pada Ogos ini, MYNIC melancarkan satu lagi subkempen khas. Pendaftar nama domain “.my” dengan langganan satu hingga sepuluh tahun layak mendapat pelbagai ganjaran, termasuk hadiah utama Proton X50.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Shinjiru Technology Sdn Bhd Shaun Lim Shan Her, seorang daripada pendaftar yang mengambil bahagian berkata sejumlah besar pendaftaran domain “.my” baharu telah diterima sepanjang kempen ini.

“Sambutan positif ini menunjukkan lebih ramai individu dan organisasi kini terlibat secara meluas dalam dunia digital menerusi pemilikan premis digital mereka sendiri. Domain ‘.my’ memberikan identiti unik kepada kita rakyat Malaysia, selamat untuk dimiliki, dan menawarkan keselamatan yang tinggi,” katanya.

Pemenang yang meraih jongkong emas dalam kempen 'RevUp and Register' Clinton Ooi Chin Keat berkata beliau berpuas hati dengan hadiah yang diterima selepas mendaftar domain untuk pelanggan.

“Saya telah menggunakan domain ‘.my’ selama dua hingga tiga tahun. Sebuah syarikat boleh mempunyai berbilang domain, kadangkala khusus untuk produknya.

“Sebagai contoh, saya membantu mendaftarkan domain untuk pelbagai projek perumahan untuk pelanggan saya, memudahkan pelanggan mencari maklumat mengenai setiap projek,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari www.mynic.my atau platform media sosial MYNIC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan