WILAYAH - SABAH > BERITA

Keracunan Makanan Di Sandakan: Kanak-kanak Makan Makanan Dibeli Bapa

29/07/2024 12:03 AM

KOTA KINABALU, 28 Julai (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan pada Khamis lepas di Sandakan, mempunyai sejarah makan makanan yang dibeli bapanya dua hari sebelum itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Asits Sanna berkata kanak-kanak tersebut mengalami gejala cirit-birit, demam serta hilang selera makan, dan pada Rabu dia mengalami sawan sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Rawatan kecemasan seterusnya diberikan kerana kanak-kanak itu didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri serta memerlukan bantuan pernafasan.

“Kanak-kanak ini telah dimasukkan ke Wad Perubatan Pediatrik sebelum disahkan meninggal dunia. Maklumat awal yang diperoleh menyatakan ibu kanak-kanak itu juga ada makan makanan tersebut dan mengalami gejala yang sama,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Berikutan itu, beliau berkata ibu kanak-kanak tersebut telah diberikan rawatan di Wad Perubatan Perempuan, Hospital Duchess of Kent di Sandakan. 

Bagaimanapun, Dr Asits berkata sejarah lengkap pergerakan serta pendedahan kes kepada makanan dan punca kematian masih dalam siasatan, justeru orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu. 

“Sampel makanan dan persekitaran telah diambil bagi tujuan menentusahkan punca kejadian,” katanya.

Beliau berkata keracunan makanan merupakan penyakit disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar oleh bakteria atau toksin bakteria tersebut, virus, parasit, bahan kimia seperti racun serangga dan racun rumpai, logam berat, serta tumbuhan beracun seperti cendawan dan hasil laut seperti kerang.

Beliau menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga antaranya makan makanan yang dimasak atau disediakan dalam tempoh tidak melebihi empat jam, menyimpan makanan pada suhu bersesuaian dan tidak melebihi tempoh ditetapkan serta sentiasa menjaga kebersihan.

“Mereka juga dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala keracunan makanan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan