WILAYAH - SELATAN > BERITA

KPDN N.Sembilan Rekod Rampasan Diesel Bernilai RM1.67 Juta Setakat Jun

29/07/2024 12:14 AM

NILAI, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merekodkan hasil rampasan melibatkan penyelewengan diesel berjumlah RM1.67 juta dari Januari hingga 10 Jun lepas.

Pengarahnya Muhammad Zahir Mazlan berkata rampasan melalui Op Tiris itu membabitkan 790,409 liter diesel melalui hasil pemeriksaan di pelbagai lokasi di seluruh negeri.

“Selain itu, sebanyak 55 kes di bawah  Akta Kawalan Bekalan 1961 turut direkodkan dalam tempoh sama. Tiada kes berkaitan diesel dihasilkan selepas 10 Jun atau selepas penyasaran semula diesel,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Negeri Sembilan Fest (NS Fest) 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata pada program NS Fest 2024 itu, KPDN negeri turut membuka reruai Jualan Rahmah MADANI dengan lebih 40 barangan ditawarkan pada harga hingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran membabitkan keperluan asas kering, kebersihan diri dan barangan penjagaan bayi.

Insiatif itu juga, katanya memberi peluang kepada peniaga mencorakkan budaya perniagaan masa depan yang lebih baik melalui Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) iaitu konsep perniagaan tanpa tunai dan khidmat nasihat penguasaan pasaran yang lebih luas.

Muhammad Zahir berkata Jualan Rahmah MADANI kali ini juga menawarkan pelbagai hadiah menarik bagi cabutan bertuah sepanjang lapan hari penganjuran program NS Fest 2024 yang bermula sejak semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan