WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Ucap Takziah Kepada Keluarga ADUN Mahkota Sharifah Azizah

02/08/2024 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Negeri (ADUN) Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, yang meninggal dunia hari ini.

Perkara itu dikongsikan Anwar menerusi hantaran di X hari ini.

“Mendapat khabar duka akan pemergian ADUN Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain. Mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan, diampunkan segala dosa Almarhumah serta diberi tempat terbaik di sisi-Nya,” katanya.

 Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang dan dijangka dikebumikan selepas solat asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Kluang.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Wanita UMNO Kluang itu dimasukkan ke hospital berkenaan akibat mengalami sesak nafas, pada awal pagi Selasa.

Pada Pilihan Raya Negeri 2022, Sharifah Azizah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Johor memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Muhammad Taqiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).

Anak jati Kluang itu juga pernah menyandang kerusi DUN Penawar pada 2018 hingga 2022.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan