WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ahmad Zahid, Fadillah Dukacita Atas Pemergian ADUN Mahkota, Ucap Takziah Kepada Keluarga

02/08/2024 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap keluarga Sharifah Azizah tabah mengharungi pemergian beliau.

"Marilah kita iringi pemergian Almarhumah di hari Jumaat yang indah ini dengan doa semoga beliau ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang solehah dan beroleh jannah," kata Presiden UMNO itu.

Beliau turut memaklumkan sempat menziarahi Exco Wanita UMNO itu ketika Sharifah Azizah menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor pagi tadi.

"Betapa dalam doa dan rintihan hati saya berharap agar beliau sembuh dan dapat meneruskan perjuangan bersama-sama. Namun Allah SWT lebih menyayanginya," kata beliau.

Ahmad Zahid menyifatkan pemergian Sharifah Azizah sebagai kehilangan seorang pejuang wanita yang amat komited dan setia terhadap parti serta amat prihatin kepada masyarakat.

Datuk Seri Fadillah Yusof pula meluahkan rasa sedih dan dukacita dengan berita pemergian ADUN Mahkota itu dan mendoakan roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta mendapat keredaan Allah SWT.

"Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah," katanya dalam hantaran di laman Facebook dan turut menitipkan doa semoga keluarga Sharifah Azizah diberi kesabaran menghadapi kehilangan itu.

Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom dan Ketua Wanita UMNO Kluang itu dimasukkan ke hospital berkenaan kerana sesak nafas pada awal pagi Selasa.

Pada Pilihan Raya Negeri 2022, Sharifah Azizah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Johor memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Muhammad Taqiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).

Turut mengucapkan takziah kepada keluarga Sharifah Azizah ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut mendoakan agar mereka diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan terberat ini.

"Segala jasa dan khidmat bakti beliau untuk UMNO dan negeri Johor sama sekali tidak akan dilupakan. Pada kesempatan ini, marilah sama-sama kita doakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman," katanya.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek juga mendoakan agar roh Sharifah Azizah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman serta beramal soleh.

"Semoga keluarga beliau diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh ujian ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan