WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Sertai Solat Jenazah Ghaib Ke Atas Ismail Haniyeh Di Masjid Negara

02/08/2024 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai kira-kira 3,000 jemaah menunaikan solat jenazah ghaib buat Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh di Masjid Negara.

Solat jenazah ghaib yang diadakan sejurus selepas Solat Jumaat itu dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Turut serta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Terdahulu, Ehsan menyampaikan Khutbah Khas Jumaat bertajuk Perjuangan Demi Nusa Tercinta bersempena sambutan Hari Pahlawan 2024.

Media sebelum ini melaporkan Mohd Na’im pada Rabu meminta semua masjid di bawah seliaan JAKIM dan JAWI mengadakan solat jenazah ghaib untuk Allahyarham Haniyeh.

Agensi Anadolu melaporkan pemimpin Palestin itu terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di Tehran. 

Beliau berada di ibu negeri Iran itu untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu Masoud Pezeshkian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan