WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LIAM Perluas Usaha Basmi Kanser Serviks Di Sarawak - CEO

02/08/2024 10:00 PM

KUCHING, 2 Ogos (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) kini memperluas usahanya ke Sarawak bagi membasmi kanser serviks dalam kalangan komuniti kurang berkemampuan membabitkan remaja serta wanita berusia lingkungan 30 hingga 65 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O’Dell berkata siri program ‘Leaving No One Behind’ mengenai vaksinasi HPV (papilomavirus manusia) untuk penuntut sekolah menengah dan saringan HPV adalah dua inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) utama sempena sambutan ulang tahun ke-50 LIAM. 

“Program Vaksinasi HPV adalah kerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan objektifnya ialah untuk memvaksin 100,000 remaja perempuan berusia lingkungan 13 hingga 20 tahun hingga Januari 2025. Setakat ini, kira-kira 64,706 bilangan vaksin telah diberikan di seluruh negara.

“Program Saringan HPV Leaving No One Behind dengan kerjasama Yayasan ROSE dan sumbangan kami sebanyak RM650,000 akan membolehkan yayasan itu mendekati wanita di kawasan terpencil dan membawa doktor ke sana dan jika pesakit positif HPV, mereka akan dibantu untuk mendapatkan rawatan ...Sarawak adalah tumpuan utama bagi Yayasan ROSE,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama. 

Beliau berkata program saringan itu menyasarkan 10,000 wanita di pinggir bandar dan masyarakat yang kurang berkemampuan.

O’Dell berharap pelancaran Program Saringan HPV - Leaving No one Behind oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian di sini esok akan mewujudkan lebih banyak kesedaran dalam kalangan penduduk Sarawak bagi memerangi risiko kanser serviks, kanser ketiga paling banyak dihidapi wanita di Malaysia.

“Sumbangan kami terhadap Program Saringan HPV akan merangkumi aspek logistoik dan mendekati seramai yang boleh wanita di Sarawak bagi menjalani saringan supaya usaha melakukan ujian dan vaksin akan membantu matlamat Malaysia untuk membasmi kanser serviks menjelang 2058,” katanya. 

Sarawak melaporkan insiden tertinggi kanser serviks di Malaysia dengan kadar 12.1 bagi setiap 100,000 populasi yang melepasi kadar nasional pada 10.2 bagi setiap 100,000 penduduk seperti anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

O'Deal juga berkata semasa mesyuarat bahagian tempatan dengan LIAM Sarawak yang berlangsung hari ini, ahli membincangkan inisiatif tahunan yang boleh dilakukan di negeri itu berkaitan libat urus masyarakat, celik kewangan dan program kesedaran. 

Beliau berkata LIAM telah melancarkan dua kempen media sosial bagi menggalakkan rakyat Malaysia untuk berkongsi detik-detik yang memberi kesan terhadap kehidupan mereka menerusi penulisan atau video dan berpeluang memenangi hadiah mingguan. 

“#LIAMGoldenMoments adalah untuk video manakala ‘Life Is Full of Surprises’ adalah kempen penulisan jadi ini akan membolehkan orang ramai pergi ke laman mikro dan belajar tentang insurans selain berkongsi kisah mereka,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://50th.liam.org.my 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan