WILAYAH - SABAH > BERITA

Melindungi Gadis Luar Bandar, Kurang Bernasib Baik Dan Berisiko Dari Kanser Serviks

02/08/2024 05:47 PM

KOTA KINABALU, 2 Ogos (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) bekerjasama rapat dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) untuk memastikan 100,000 gadis yang layak di seluruh negara menerima vaksinasi Human Papillomavirus (HPV).

Ketua Pegawai Eksekutif LIAM Mark O'Dell berkata program itu, sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) LIAM, akan menyediakan vaksin HPV yang penting kepada remaja perempuan dalam komuniti yang kurang bernasib baik, luar bandar dan berisiko di seluruh Malaysia.

Beliau berkata vaksinasi ini penting dalam mencegah HPV dan kanser berkaitan HPV terutamanya kanser serviks, dan sebagai sebahagian daripada ulang tahun ke-50 persatuan itu, LIAM menyumbangkan RM3 juta kepada NCSM daripada sumbangan kolektif 14 syarikat insurans hayat dan dua syarikat insurans semula dalam persatuan itu.

“Mereka (NCSM) menerima dos percuma (vaksin HPV) daripada pengilang, tetapi mereka memerlukan wang untuk menyampaikannya kepada remaja perempuan dalam kumpulan umur 13 hingga 20 tahun. Jadi kami akan mencari dan memberi vaksin kepada kumpulan ini kerana vaksin itu sangat berkesan terhadap kanser serviks sehingga 90 peratus,” katanya kepada Bernama.

‘Tanpa Meninggalkan Sesiapa di Belakang’ - Program Vaksinasi HPV ini memfokuskan pada menglibatkan, mendidik dan memvaksinasi gadis di 162 daerah di 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan, sambil menggunakan pendekatan komprehensif yang merangkumi komunikasi berkaitan kesihatan, campur tangan perubahan tingkah laku dan perkhidmatan kesihatan yang cekap.

O’Dell berkata LIAM juga bekerjasama dengan Yayasan Rose, memberi mereka sumbangan RM650,000 untuk menjalankan ujian ke atas wanita dalam lingkungan umur 30 hingga 60 tahun untuk virus yang menyebabkan kanser serviks, sekali gus menghapuskan virus itu pada peringkat awal.

“Kanser serviks merupakan salah satu kanser paling lazim di kalangan wanita yang disebabkan oleh virus. Vaksin boleh mengatasinya, tetapi jika anda sudah mempunyai virus itu, anda boleh menyingkirkannya sebelum ia bertukar menjadi kanser serviks. Jadi Yayasan Rose semuanya mengenai ujian,” katanya.

Beliau berkata Yayasan Rose telah melakukan ujian dengan sangat baik di Sarawak dan mereka telah pergi ke kawasan luar bandar menemui golongan berpendapatan rendah untuk melakukan ujian dan membantu orang ramai menghapuskan virus yang menyebabkan kanser serviks, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

“Mereka menaiki bot di sepanjang sungai, membawa pasukan mereka ke kawasan luar bandar dan menguji wanita di sana. Mereka membantu wanita-wanita ini melalui perjalanan membasmi virus itu. Virus ini boleh merebak melalui air liur, hubungan suami isteri dan apa-apa jenis sentuhan serta ia juga boleh muncul beberapa dekad kemudian,” katanya.

O'Dell berkata walaupun kanser serviks khusus untuk wanita, lelaki dan kanak-kanak lelaki boleh menjadi pembawa virus, jadi penting bagi mereka untuk turut mendapatkan vaksinasi HPV.

Kanser serviks ialah kanser yang timbul daripada serviks atau di mana-mana lapisan dinding serviks, dan ia disebabkan oleh pertumbuhan sel tidak normal yang mempunyai keupayaan untuk menyerang atau merebak ke bahagian badan lain.

Sementara itu, beliau berkata LIAM juga melancarkan pek permulaan untuk melibatkan lebih ramai anak muda Malaysia untuk membeli insurans hayat dan pek itu akan memberi subsidi RM50 yang boleh digunakan untuk membeli atau membayar sebahagian daripada premium polisi insurans hayat.

O'Dell berkata LIAM juga melakukan beberapa program CSR seperti program derma darah tahunan pada September dan Oktober di bandar yang berbeza di seluruh negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan