WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Olimpik Paris: TPM Zahir Ucapan Terima Kasih Kepada Pemain Beregu Badminton Negara

03/08/2024 12:11 AM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan terima kasih kepada pemain badminton beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah kerana menyajikan perlawanan sengit serta mendebarkan di peringkat separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024 biarpun tewas kepada pasangan China.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Ahmad Zahid berkata semangat juang Aaron-Wooi Yik dalam mengheret pasangan ranking nombor satu dunia Liang Wei Keng-Wang Chang ke set penentuan membuktikan Malaysia tidak mudah ditundukkan dan mampu bersaing di peringkat tertinggi.

“Kekalahan ini bukanlah penamat. Setiap pengalaman yang diperoleh adalah pelajaran berharga yang akan menjadikan kita lebih kuat dan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran akan datang.

“Buat Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, jangan pernah berputus asa. Masih sempat untuk memburu pingat gangsa dan peluang ini harus dimanfaatkan sepenuhnya!” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa bangga dengan kecekalan Pearly dan Thinaah yang berusaha mendapatkan mata kemenangan buat tanah air apabila terpaksa berentap sekali lagi dengan gandingan nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi.

Beliau berkata meskipun tewas, Pearly dan Thinaah tetap juara di mata rakyat Malaysia kerana telah mempamerkan semangat juang yang menakjubkan.

“Berdepan dengan beregu wanita No.1 China ternyata tidak memadamkan semangat melawan. Keupayaan kalian dalam memberikan saingan yang sengit sudah cukup membanggakan.

This is not the end. Perjalanan masih panjang dan saya yakin satu hari nanti gelaran juara dunia pasti milik anda berdua. Insya-Allah,” katanya.

Pada aksi separuh akhir di Porte de La Chapelle Arena pagi ini (petang di Malaysia), Pearly-Thinaah tewas 12-21, 21-18, 15-21 kepada Qing Chen-Yi Fan dalam pertarungan sengit selama 78 minit.

Pemenang gangsa edisi lepas, Aaron-Wooi Yik pula terpaksa akur dengan kehebatan Wei Keng-Chang setelah tewas 19-21, 21-15, 17-21 pada perlawanan tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan