WILAYAH - UTARA > BERITA

Mitsuki 'layan' SUKMA Seperti Kejohanan Lain Elak Tekanan

03/08/2024 10:35 AM

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

IPOH, 3 Ogos (Bernama) -- Pemain tenis kebangsaan Mitsuki Leong Wei Kang melayan sama rata setiap kejohanan yang disertainya termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, sebagai cara untuk mengurangkan tekanan.

Bagi pemain berusia 20 tahun yang menjadi sandaran emas kontinjen Perak ke temasya itu, tiada persiapan khusus dilakukannya sebaliknya lebih menumpukan kepada pengurusan tekanan ketika dalam gelanggang.

Anak jati Ipoh yang menjadi sandaran emas kontinjen Perak itu berkata beliau tidak mahu terlalu memikirkan mengenai status juara bertahan yang dipegangnya sejak edisi lepas, sebaliknya tekad untuk melakukan yang terbaik pada penampilan terakhirnya di temasya sukan dwitahunan kebangsaan kali ini.

“Saya anggap SUKMA sama seperti kejohanan lain, tidak meletakkan sesuatu yang istimewa supaya ia tidak menambahkan tekanan kepada diri sendiri. Anggap sahaja ia sebagai kejohanan biasa yang kamu selalu pergi dan saya rasa ada keputusan mengikut cara kita.

“Semua orang akan ada tekanan tetapi ia bergantung kepada bagaimana kita memikirkannya. Saya rasa kali ini saya lebih baik dari sebelumnya sebab yang lepas itu (SUKMA 2022) merupakan kali pertama, mungkin rasa lebih sikit tekanan tetapi kali ini saya boleh tangani dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Mitsuki yang memilih untuk menjalani latihan di bawah bimbingan bapanya, Jeff Leong, berkata ia merupakan satu kelebihan kerana bapa merupakan individu yang paling mengenali dirinya berbanding orang lain.

“Dia banyak membantu saya kerana dia adalah individu yang mengenali saya. Dia tahu bila saya dalam keadaan sedih, tahu cara untuk ceriakan keadaan atau dalam apa jua keadaan terutama ketika waktu genting. .. jadi ia adalah satu kelebihan,” katanya.

Pada penampilan terakhir di pentas SUKMA kerana sudah mencapai had umur penyertaan, Mitsuki berkata beliau akan mengambil bahagian dalam tiga acara iaitu perseorangan, beregu campuran bergandingan dengan adiknya Shihomi Leong Li Xuan dan berpasukan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTA) Fazwil Abdul Wahid yang juga jurulatih tenis negeri berkata sebanyak 11 pemain disenaraikan termasuk pelapis yang berusia bawah 16 tahun yang akan membawa cabaran negeri ke temasya itu.

Beliau berkata daripada enam pingat emas ditawarkan, Perak menyasarkan empat daripadanya menerusi acara berpasukan, perseorangan lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Untuk rekod, kontinjen Perak meraih dua pingat emas dan satu gangsa pada edisi 2022.

SUKMA 2024 di Sarawak berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan