WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Himpunan 24,000 Huffaz Di Masjid Wilayah Persekutuan Bulan Depan - Ahmad Zahid

03/08/2024 05:05 PM

GUA MUSANG, 3 Ogos (Bernama) -- Satu majlis yang menyasarkan untuk menghimpunkan 24,000 huffaz di seluruh negara akan dilaksanakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur bulan depan. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Majlis Himpunan Huffaz 24K itu, yang merupakan kesinambungan Himpunan Huffaz 23K pada tahun lepas, akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Pada tahun 2023, kita berjaya mengumpulkan 23,000 pelajar Maahad Tahfiz dan pada tahun ini kita akan menghimpunkan 24,000 orang dan insya-Allah pada tahun hadapan kita kumpul 25,000,” katanya ketika berucap pada Program Pra-Tahfiz Kemas negeri Kelantan di Dewan Besar Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini hari ini.

Beliau berkata program tersebut merupakan bukti bahawa iltizam dan tekad Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan agama Islam, serta komitmen dan tekad Perdana Menteri yang mahu melihat Islam tertanam dengan baik dan syumul.

“Walaupun kerajaan pada hari ini daripada pelbagai parti namun agama Islam tidak dikompromi, malah ia diperkukuhkan di bawah Kerajaan MADANI. Ini bukan teori dan bukan satu formula tetapi satu bukti bahawa iltizam dan tekad kerajaan…soal yang termaktub dalam perlembagaan tetap dipertahankan oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata meskipun kerajaan pada hari ini terdiri daripada 18 parti politik pelbagai latar belakang, namun tiada satu parti yang menentang dan tidak bersetuju dengan program yang dilakukan kerajaan MADANI dalam memartabatkan syiar Islam.

“Jika disebut Islam terancam, dipinggirkan dan bahawa kerajaan tidak memberi keutamaan kepada Islam itu pembohongan yang paling besar, kerana saya diberi tanggungjawab dan saya telah melaksanakan dengan sebaik-baiknya,“ katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan