WILAYAH - UTARA > BERITA

Ketua Menteri Teraju Misi Pelaburan Pulau Pinang Ke Amerika Syarikat

04/08/2024 02:43 PM

GEORGE TOWN, 4 Ogos (Bernama) -- Pulau Pinang mengadakan misi pelaburan dan perdagangan ke Amerika Syarikat (AS) untuk memperbaharu dan menjalinkan hubungan dengan pihak ibu pejabat korporat pelabur AS yang beroperasi di Pulau Pinang.

Misi anjuran InvestPenang mulai hari ini hingga 14 Ogos dengan diketuai Ketua Menteri Chow Kon Yeow itu turut bertujuan menggalakkan pengembangan tapak pelabur di Pulau Pinang selain menarik pelaburan baharu.

“Misi juga bertujuan memberikan maklumat baharu kepada syarikat AS mengenai perkembangan dan peluang terkini yang tersedia di Pulau Pinang selain infrastruktur dan perubahan dasar untuk memudahkan pelaburan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang pada Ahad.

Berlandaskan usaha meningkatkan kebolehlihatan kepada Pulau Pinang dan seterusnya mempromosikan negeri ini sebagai lokasi utama, misi itu juga menyasarkan bakal pelabur dalam beberapa bidang, jelas kenyataan itu.

Menurutnya menerusi misi itu, Pulau Pinang menyasarkan bakal pelabur dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, peralatan, peranti perubatan, reka bentuk litar bersepadu (IC), perkhidmatan perniagaan global digital (DGBS) dan industri ekonomi digital.

Sepanjang misi itu, delegasi Chow akan menyertai beberapa mesyuarat dan lawatan ke ibu pejabat korporat pelabur AS untuk mengetengahkan kelebihan, inovasi dan komitmen negeri untuk menjadi lokasi pelaburan yang berdaya tahan dan mampan.

Menurut kenyataan itu, Chow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi negeri menyatakan komitmen terhadap misi pelaburan dan perdagangan itu, selain berharap dapat memperkukuh hubungan dengan pelabur AS.

“Sangat berharap hasil positif daripada misi ini,” katanya.

Pulau Pinang, digelar sebagai ‘Lembah Silikon Timur’, merekodkan aliran masuk pelaburan bernilai RM71.9 bilion pada 2023, yang tertinggi di Malaysia, dipacu oleh pelaburan langsung asing yang membentuk RM61.7 bilion atau 85.8 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan