WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Presiden Algeria Puji Khelif Atas Pencapaiannya Di Tengah Perdebatan Isu Jantina

04/08/2024 03:27 PM

PARIS, 4 Ogos (Bernama-dpa) -- Peninju Algeria, Imane Khelif mendapat sokongan dari negara asalnya di tengah-tengah perdebatan hangat mengenai isu jantina dalam acara tinju wanita Olimpik, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Khelif, yang hilang kelayakan di kejohanan dunia wanita 2023 kerana tidak memenuhi syarat kelayakan jantina, kini memastikan sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam genggaman selepas menewaskan Anna Luca Hamori dari Hungary dalam suku akhir 66 kilogram pada Sabtu.

“Anda telah mengharumkan nama Algeria, wanita Algeria dan tinju Algeria. Kami akan sentiasa menyokong anda, tidak kira apa pun keputusan anda. Semoga berjaya dalam dua pusingan seterusnya," tulis Presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune di platform media sosial X.

Khelif, 25, menerima sorakan dari ramai peminat Algeria semasa kemenangan suku akhir beliau menentang Hamori dari Hungary.

Beliau kelihatan sangat emosional selepas pertarungan itu.

Selepas wawancara TV singkat, Khelif dibantu ke bilik persalinan dengan dibalut bendera Algeria.

Terdapat perdebatan sengit mengenai Khelif dan Lin Yu-Ting dari Taiwan mengenai hak mereka untuk bertanding di Sukan Paris.

Kedua-dua atlet ini menyertai Sukan Tokyo tiga tahun lalu dan kalah dalam pertarungan dengan pesaing wanita lain.

Mereka dikeluarkan dari kejohanan dunia 2023 oleh Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA).

IBA, yang dahulunya dikenali sebagai AIBA, bertanggungjawab ke atas kejohanan dunia tetapi tidak lagi diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) kerana isu tadbir urus.

IOC kini mengendalikan sendiri acara tinju di Sukan Paris.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan