WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BN Perak Hantar Wakil Orang Asli Bantu Kempen PRK Nenggiri - Saarani

04/08/2024 04:06 PM

IPOH, 4 Ogos (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perak menghantar jentera parti termasuk Orang Asli bagi membantu gerak kerja kempen calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan.

Pengerusinya Datuk Seri Saarani Mohamad berkata jentera kempen telah bertugas di Gua Musang selama seminggu, dengan memfokuskan usaha di pusat daerah mengundi (PDM) Sungai Asap serta dua PDM Orang Asli di Sungai Puian dan Pos Simpor.

“Kami menggerakkan tukang kempen dalam kalangan Orang Asli untuk berkempen dari rumah ke rumah, dan secara kebetulan, mereka ada keluarga di kawasan itu," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Perak 2024 di sini hari ini.

Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada jentera parti peringkat negeri turut dihantar bagi membantu kempen PRK Nenggiri.

PRK DUN Nenggiri berlangsung 17 Ogos berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, apabila bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS menewaskan calon Barisan Nasional Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan wakil PN Mohd Rizwadi Ismail yang bertanding menggunakan logo PAS.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan