WILAYAH - SELATAN > BERITA

Lebih Banyak RKI Dibina Dalam Parlimen Alor Gajah - Adly

05/08/2024 05:05 PM

ALOR GAJAH, 5 Ogos (Bernama) -- Lebih banyak rumah baharu dan pembaikan rumah rosak atau uzur di bawah inisiatif Rumah Kasih Ihsan (RKI) akan dilaksanakan dalam Parlimen Alor Gajah demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan khususnya membabitkan golongan miskin dan miskin tegar.

Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari berkata tiga rumah baharu berharga RM80,000 sebuah dibina tahun ini menerusi peruntukan di bawah bajet pembangunan Parlimen berkenaan. 

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata tiga RKI yang dibangunkan masing-masing dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Gadek dan Asahan itu dikendalikan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

"RKI merupakan satu daripada inisiatif yang dilaksanakan untuk mereka yang mempunyai tanah tetapi tiada kemampuan membina rumah atau rumah sedia ada terlalu uzur dan tidak boleh dibaiki.

"Kita akan kenal pasti lebih banyak lagi RKI yang boleh dibangunkan dalam Parlimen ini pada masa hadapan mengikut keperluan dan bajet yang diterima untuk kesejahteraan warga Alor Gajah" katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Rumah Kasih Ihsan yang turut dihadiri Pengarah Pembangunan Negeri Melaka Megat Azlani Megat Ramli.

Rumah, katanya, merupakan keperluan penting untuk rakyat menjalani kehidupan selesa dan merupakan antara fokusnya sebagai Ahli Parlimen selain pendidikan dan kebajikan rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan