WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Neurogine MPEX, CB Bank Sedia Khidmat Kewangan Digital Untuk PMKS Myanmar

05/08/2024 10:33 PM

LABUAN, 5 Ogos (Bernama) – Penginovasi teknologi kewangan Neurogine MPEX (L) Ltd bekerjasama dengan CB Bank PCL dari Myanmar bagi merevolusikan proses dan membantu pedagang menggunakan platform berteraskan mudah alih Neurogine nMerchant.

Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine, Owen Chen berkata kerjasama itu bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi Myanmar dengan menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menyumbang 36 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu. 

 Beliau berkata sejajar dengan kedudukan PMKS mewakili 99.4 peratus perniagaan di Myanmar, perkongsian itu memberi tumpuan kepada meningkatkan akses untuk perkhidmatan kewangan melalui teknologi mudah alih.

“Menerusi usaha memperkemas proses pendaftaran peniaga, Neurogine nMerchant membolehkan CB Bank memasukkan perniagaan baharu secara pantas selain memberi akses lebih mudah kepada perkhidmatan kewangan," kata Chen dalam satu kenyataan kepada BERNAMA, hari ini.

Platform itu, katanya, dengan ketara dapat mengurangkan kertas kerja, mempercepat masa pemulihan dan meningkatkan kecekapan untuk kedua-dua CB Bank dan rakan kongsi pedagangnya.

Pada masa sama, platform itu menerima pembayaran menggunakan kod respons pantas dan diintegrasi dengan n2Tap Neurogine -- penyelesaian titik jualan perisian pertama di Malaysia yang turut diperakui oleh Majlis Piawaian Keselamatan Industri Kad Pembayaran.

“Menerusi antara muka intuitif, platform ini menyokong CB Bank dalam memperoleh dan mengurus peniaga sambil meningkatkan pengalaman pelanggan.

“Di samping meningkatkan kecekapan, Neurogine nBank membolehkan CB Bank mengguna pakai  pendekatan membuat keputusan berdasarkan data, mengurangkan kos operasi dan risiko," katanya.

Chen berkata pendaftaran peranti mudah alih itu juga dapat mengelak keperluan kunjungan bank secara fizikal selain memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan di wilayah seperti Mandalay, Ayeyarwady, Bago, Sagaing dan Yangon.

Sementara itu, Pengarah Urusan CB Bank (Ketua Bahagian Perkhidmatan Pedagang)U Zayar Aung, menekankan kepentingan kerjasama itu dalam memajukan transformasi digital Myanmar. 

"CB Bank komited untuk menyokong pertumbuhan PMKS Myanmar dan perkongsian dengan Neurogine MPEX adalah langkah penting untuk bergerak maju.

“Kami yakin Neurogine nMerchant akan menjadi pengubah bagi pasaran Myanmar," katanya.

Ditubuhkan pada 1992, ia juga antara bank terbesar di Myanmar dengan 9,000 kakitangan serta 220 cawangan.

Sejajar usaha meraikan ulang tahun ke-32 bank itu pada 21 Ogos, 2024, kerjasama berkenaan turut memaparkan komitmen dalam memanfaatkan teknologi memperkasa PMKS dan memacu rangkuman kewangan di Myanmar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan