WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Paralimpik Paris : Nur Jannaton Tekad Pamer Aksi Cemerlang

15/08/2024 09:01 AM

Oleh Muhamad Azhar Tajuddin

IPOH, 15 Ogos (Bernama) -- Meskipun merupakan penampilan kali pertama di pentas paralimpik, namun pemanah para negara Nur Jannaton Abdul Jalil tidak mahu sekadar ‘makan angin’ sebaliknya bertekad mempamerkan aksi cemerlang di Sukan Paralimpik yang akan berlangsung di Paris pada 28 Ogos hingga 8 Sept ini.

Atlet kelahiran Seri Iskandar, Perak berusia 29 tahun yang bakal menyertai acara compound individu itu menegaskan fokus dan ketenangan merupakan elemen penting dalam memastikan setiap bidikan anak panahnya tepat menuju sasaran.

“Awalnya, tak pernah terfikir pun untuk ke Paris tetapi mungkin tuah menyebelahi saya apabila layak secara merit selepas menduduki tempat kedua di Kejohanan Memanah Para Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Thailand pada November tahun lepas.

“Soal sasaran, siapa yang tak mahu naik podium tetapi buat masa ini fokus saya adalah untuk layak ke peringkat suku akhir. Kalau boleh pergi lebih jauh itu satu bonus untuk saya,” katanya ketika ditemui Bernama di Lapang Sasar Memanah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak di sini.

Nur Jannaton yang kini menduduki ranking ke-35 dunia mencipta sensasi tersendiri apabila muncul sebagai atlet para wanita memanah pertama layak secara merit ke Sukan Paralimpik sejak Malaysia menyertai temasya itu pada 1972.

Nur Jannaton merupakan seorang daripada 30 atlet para yang akan membawa cabaran negara di temasya sukan empat tahun sekali itu.

Anak bongsu dari lima beradik tersebut berkata beliau menjangkakan saingan merebut pingat akan hadir menerusi pencabar dari Indonesia, Great Britain, India dan China.

“Kelebihan (mereka) lebih kepada sudut pengalaman dan menyerap tekanan. Sukan memanah ini sifatnya agak teknikal dan mana-mana pemanah yang berjaya kekal konsisten pada hari kejohanan maka peluang untuk menang itu lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata buat masa ini persiapan yang dilakukan berjalan lancar dan penumpuan utama diberikan kepada sesi latihan di padang sasar serta mengukuhkan kekuatan kardio.

Tambah anak bongsu dari lima beradik itu, sesi latihan di bawah pemantauan jurulatihnya Hakiki Kamro dilakukan setiap kecuali Sabtu dan Ahad selain melibatkan dua sesi di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil.

“Latihan akan bermula setiap hari dari 8 pagi hingga 12 tengah hari dan bersambung semula pada 2.30 petang hingga 5 petang. Di sebelah lagi latihan banyak tertumpu kepada kardio membabitkan tangan, bahu, perut dan sebagainya.

“...manakala di sebelah petang tumpuan lebih kepada latihan di padang sasar melibatkan penumpuan ke arah mempertajamkan teknik panahan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya sumbangan berjumlah RM4,000 kerajaan negeri Perak pada 25 Julai lepas, akan menjadi pendorong serta pembakar semangat untuk terus berjaya dalam sukan yang telah disertainya sejak 2018.

“Terima kasih diucapkan kepada kerajaan negeri atas sumbangan yang diberikan dan sokongan seumpama ini akan menjadi pemangkin buat diri saya untuk mencipta lebih banyak kejayaan di masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan