WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Paris 2024: TPM, Menteri Kabinet Ucap Tahniah Buat Zii Jia Peroleh Gangsa Kedua Negara

05/08/2024 11:15 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada pemain badminton perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia, kerana berjaya meraih pingat gangsa kedua negara pada Sukan Olimpik Paris 2024, malam ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pemain berusia 26 tahun itu, membuktikan bahawa kekalahan untuk mara ke peringkat akhir tidak pernah mematahkan semangat juangnya, untuk terus berjuang demi meraih pingat untuk negara tercinta.

“Syabas dan tahniah buat pemain perseorangan negara Zii Jia yang telah berjaya memberikan Malaysia pingat gangsa kedua untuk negara tercinta.

“Kami cukup berbangga dengan persembahan mantap dan cukup hebat yang dipamerkan oleh LZJ sebentar tadi. Anda ternyata wira negara! Syabas dan tahniah sekali lagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.

Terdahulu, Zii Jia, pemain ranking ketujuh dunia, meraih pingat gangsa menerusi aksi cemerlang menentang Lakshya Sen dari India, dengan bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menang 13-21, 21-16, 21-11, pada aksi penentuan pingat gangsa di Porte de La Chapelle Arena, Paris.

Dalam perlawanan separuh akhir pada Ahad, Zii Jia terpaksa akur dengan kekalahan 14-21, 15-21 kepada juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengucapkan tahniah atas kejayaan atlet negara itu dalam meraih pingat kedua negara di Paris.

“Tahniah Lee Zii Jia!!! Pingat gangsa kedua untuk Negara. Persembahan memukau. Tahniah sekali lagi,” kata Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menerusi hantaran di laman Facebook.

Turut berkongsi ucapan tahniah kepada pemain badminton perseorangan lelaki negara itu ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

“Terima Kasih Lee Zii Jia kerana hadiahkan pingat kedua Olimpik Paris buat Malaysia tercinta! Tahniah! Kami sangat berbangga dengan anda,” katanya.

Selain itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, turut mengucapkan tahniah kepada Zii Jia di Facebook masing-masing.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan