WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sukan Paralimpik: Wei Lun Sumber Inspirasi Noor Askuzaimey

15/08/2024 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) – Bekas jaguh boccia negara, Chew Wei Lun memberi inspirasi buat Noor Askuzaimey Mat Salim untuk tampil lebih meyakinkan pada penampilan pertamanya di Sukan Paralimpik Paris 2024.

Noor Askuzaimey yang beraksi dalam kategori acara individu wanita BC4 (kecacatan fizikal) menganggap dirinya cukup bertuah apabila pernah 'berguru' dengan pemenang pingat perak Sukan Paralimpik Tokyo 2020 itu sebelum ini.

“Wei Lun merupakan idola saya, saya pernah menjalani latihan dengan dia dahulu. Apa yang beliau pernah tunjuk ajar kepada saya selama ini merupakan ilmu buat saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Digelar ‘pembunuh senyap’, Wei Lun, yang bersara sejurus edisi Tokyo 2020, melakar sejarah muncul atlet pertama negara dari sukan boccia yang menyumbang pingat pada Sukan Paralimpik selepas tewas kepada wakil Great Britain, David Smith 2-4.

Dalam pada itu, Noor Askuzaimey yang merupakan pemenang emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022, berkata tumpuannya ketika ini lebih terarah untuk menenangkan diri sebelum berjuang di Paris 2024.

Selain acara individu di Paris, atlet berusia 38 tahun itu juga akan bergandingan bersama Abdul Razzaq Abdul Rahman bagi acara mixed pairs BC4.

Sementara itu, jurulatih skuad boccia negara, Aiman Hafizi Abu Bakar, enggan meletakkan sebarang sasaran pingat bagi mengelakkan tekanan kepada anak buahnya.

Beliau berkata pemain boccia negara juga berdepan cabaran getir pada Paris 2024 selepas pihaknya masih belum dapat mencongak senarai pemain yang bakal dipertaruhkan negara lain selain kurang pendedahan bersaing dengan wakil dari benua Eropah sebelum ini.

Skuad boccia negara akan turut dibarisi pemenang perak Sukan Para Asia Hangzhou 2022, Lee Chee Hoong, menerusi kategori individu lelaki BC2 (kecacatan fizikal).

Saingan boccia di Paris 2024 akan berlangsung di South Paris Arena 1 dari 29 Ogos hingga 5 Sept ini.

Sukan Paralimpik 2024 akan dibuka secara rasmi pada 28 Ogos dan berakhir 8 Sept ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan