WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Giat Kaji Campuran Tenaga Dan Potensi Pelaburan Dalam Penyimpanan Bateri -- Fadillah

15/08/2024 04:05 PM

Daripada Nurul Hanis Izmir

LIMA (PERU), 15 Ogos (Bernama) -- Malaysia sedang giat melakukan kajian mengenai campuran tenaga dengan memanfaatkan sumber tenaga yang terdapat di dalam negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kajian tersebut sedang diperincikan.

“Pada masa yang sama, kita perlu meningkatkan taraf transmission line (talian penghantaran) kita.

“Insya-Allah, kita akan mampu bukan sahaja untuk membekalkan tenaga yang semakin diminati oleh negara-negara luar, tetapi juga memaparkan masa depan yang kita tawarkan melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan komitmen kita terhadap tenaga boleh baharu (RE),” kata Fadillah.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia sempena lawatan ke Peru untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga (EMM) di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung selama dua hari bermula 15-16 Ogos.

Mesyuarat itu, yang dihoskan oleh Peru sebagai Pengerusi APEC 2024, merupakan pertemuan tertinggi menteri-menteri ekonomi APEC yang bertanggungjawab terhadap pembangunan tenaga.

Pada Julai tahun lepas, Malaysia melancarkan fasa pertama NETR dengan memperkenalkan 10 inisiatif pemangkin utama yang akan membuka peluang pelaburan peralihan tenaga bernilai RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.

Fadillah berkata Malaysia mampu menyediakan bekalan tenaga yang stabil, berdaya saing, dan mampu dibiayai, yang seterusnya dapat mendorong pelabur untuk melabur di Malaysia.

Pada masa yang sama, katanya, Malaysia juga perlu mula melabur dalam penyimpanan tenaga atau bateri.

“Walaupun kosnya agak tinggi dan tidak banyak pelabur yang berminat dalam penyimpanan bateri, ini adalah salah satu kajian yang kita akan lakukan.

“Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan menjalankan ujian untuk menentukan sejauh mana teknologi penyimpanan bateri ini boleh dilaksanakan dan bagaimana kita boleh memperbaikinya supaya bekalan tenaga solar kekal stabil dan tidak mengganggu sistem grid kita,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sektor tenaga juga kini menjadi tumpuan utama APEC.

“Dunia kini melihat keperluan untuk mengamalkan tenaga bersih, dan tumpuan kali ini adalah bagaimana kita boleh memanfaatkan tenaga boleh baharu untuk memberi manfaat kepada setiap negara, sambil menyumbang kepada kemampanan alam sekitar dan membantu mengembangkan ekonomi negara masing-masing,” katanya.

Sebelum ini, Fadillah dilaporkan berkata sektor tenaga negara mewakili 29 peratus daripada keluaran dalam negara kasar serta menggajikan suku daripada tenaga kerja dalam negara.

Justeru, perubahan dalam sistem tenaga bukan sahaja memberi kesan kepada pendapatan serta pembangunan ekonomi tetapi juga kepada kehidupan rakyat yang bergantung kepada tenaga mampu milik. 

Selain itu, penggunaan teknologi baharu juga dapat membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan api fosil sekali gus dapat mengurangkan intensiti karbon sebanyak 45 peratus pada 2030 seperti dimeterai dalam Perjanjian Paris 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan