WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Program Pertukaran Topi Keledar Baharu, Tingkat Keselamatan Pengguna

16/08/2024 03:10 PM

JOHOR BAHRU, 16 Ogos (Bernama) -- Penukaran topi keledar secara percuma pada setiap Program MADANI Rakyat memberi peluang kepada penunggang motosikal mendapatkan topi keledar baharu sekali gus meningkatkan keselamatan mereka dengan menggunakan pelindung kepala yang mempunyai kelulusan SIRIM.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor Mohd Edir Sanip berkata setiap topi keledar yang diiktiraf SIRIM telah diuji ketahanan dan keberkesanannya dalam memberi perlindungan kepada penunggang motosikal sekiranya berlaku kemalangan.

“Semalam sahaja lebih 1,000 topi keledar telah diedarkan kepada orang ramai. Hari ini jumlah itu meningkat dengan lebih 1,500 topi keledar ditukar dan angka itu dijangka bertambah berikutan kesedaran orang ramai tentang pentingnya pemakaian topi keledar yang menepati spesifikasi. 

"Diharapkan pelaksanaan program ini dapat meminimumkan kecederaan yang dialami oleh penunggang dan pembonceng motosikal sekiranya terlibat dalam kemalangan jalan raya," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. 

Beliau berkata sejumlah 5,000 topi keledar percuma disediakan di reruai JPJ Johor sempena Progam MADANI Rakyat Zon Selatan 2024, di Dataran UTM Skudai di sini bermula semalam hingga esok. 

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati orang ramai termasuk warga emas dan kanak-kanak bertali arus mengunjungi reruai tersebut untuk membuat pertukaran topi keledar seawal 9 pagi.

Seorang pengunjung, Fauziah Abdullah, 60, yang mengetahui tentang program itu menerusi siaran televisyen berkata beliau hadir ke reruai itu bersama anaknya untuk menukar topi keledar lama yang sudah lusuh.

"Alhamdulillah saya dapat topi keledar baharu secara percuma untuk kegunaan seharian, selepas ini untuk pergi masjid atau kedai rasa lebih yakin dan selamat," katanya.  

Pasangan suami isteri warga emas, Yong Lin Tai dan Choi Won Ngok turut tidak melepaskan peluang menukar topi keledar mereka dan memuji pihak JPJ yang melaksanakan program itu serta memastikan ia berlangsung dengan lancar. 

Yanti Isin, 37, pula berkata beliau terus ke reruai itu selepas melihat promosi program di media sosial pagi ini bagi mendapatkan topi keledar baharu. 

Program MADANI Rakyat Zon Selatan merupakan ruang bagi kerajaan memaklumkan serta menguar-uarkan pencapaian serta manfaat Ekonomi MADANI kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif dan komitmen berterusan dalam memperkasakan rakyat, usahawan dan industri.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan