WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Markah Layak Dapat Pergerakan Gaji Tahunan Dinaikkan Kepada 75 Peratus - PM Anwar

16/08/2024 03:20 PM

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan menambah baik aspek pengurusan prestasi, tatakelakuan dan pengurusan tatatertib selari dengan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata antara yang akan dilaksanakan adalah menetapkan kriteria kelayakan Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) hanya terpakai kepada pegawai yang mencapai tahap prestasi yang memuaskan dan lulus tapisan tatatertib, dengan markah layak terima PGT dinaikkan daripada 60 peratus kepada 75 peratus.

“Markah minimum ini juga akan digunakan untuk menentukan pegawai berprestasi rendah yang boleh dimasukkan ke dalam Dasar Pemisah (Exit Policy) - penamatan perkhidmatan.

“Tempoh pemprosesan urusan di bawah Dasar Pemisah dikurangkan daripada 36 bulan kepada 18 bulan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata markah penilaian prestasi tahunan bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat turut ditingkatkan daripada 80 peratus kepada 85 peratus.

Selain itu kerajaan juga akan mewujudkan peraturan baharu di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U.(A)395) bagi menangani isu kegagalan tadbir urus pengurusan kewangan awam dan pengukuhan prosedur tatatertib yang lebih tegas bagi pegawai yang tidak hadir bertugas.

Anwar berkata pelaksanaan sistem penilaian prestasi tahunan yang baharu, MyPERFORMANCE yang berasaskan kepada aspek kompetensi dan nilai serta menitikberatkan lima prinsip, iaitu adil, objektif, telus, relevan dan kebolehasingan; akan diperkenalkan bagi menggantikan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan.

Perdana Menteri dalam pada itu mahu kementerian yang berkaitan melaksanakan penjajaran semula sumber manusia ke jabatan atau agensi yang benar-benar memerlukan.

“Kita harus melihat tentang keperluan untuk memastikan perkhidmatan yang terus kepada rakyat seperti keperluan doktor di hospital dan pegawai polis di lapangan perlu disesuaikan dengan beban tugas hakiki, bukan lagi dibebani dengan tugasan yang bersifat pentadbiran.

“Ini kerana berlakunya pembaziran kepakaran, kekurangan tenaga kerja di tempat yang sepatutnya kita perkasakan seperti contoh di hospital dan klinik-klinik yang memerlukan penambahan sumber (manusia),” katanya.

Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengkaji kebolehlaksanaan dasar kompetensi perjawatan bagi memastikan kenaikan pangkat dan penempatan pegawai adalah berpadanan dengan kompetensi sesuatu perjawatan.

Selain itu beliau berkata piagam pelanggan di kementerian atau jabatan yang tidak lagi relevan perlu disemak semula kerana ia merupakan panduan kepada penyampaian perkhidmatan dan perlu sejajar dengan perubahan semasa serta lebih praktikal.

“Peraturan dan pekeliling kerajaan yang melibatkan urusan dengan awam juga perlu disemak semula bagi mengelak karenah birokrasi yang dapat menjejaskan kelancaran penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Bagi memastikan pengurusan kewangan negara yang lebih mampan, Perdana Menteri berkata kerajaan sedang meneliti kaedah baharu lantikan tetap dan bercarum.

Anwar berkata kajian terperinci sedang dilaksanakan bagi menentukan strategi-strategi terbaik kepada kerajaan dan pegawai awam lantikan baharu.

“Hasil kajian akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan sebelum ia dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan akan memperkenalkan kerangka Iltizam Kecekapan Pentadbiran sebagai satu mekanisme pengukuran tahap penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Ia membolehkan rakyat melihat sendiri pembuktian terhadap kejayaan kerajaan dalam melaksanakan reformasi pentadbiran secara menyeluruh, meliputi aspek pengoperasian, tahap akauntabiliti dan kecekapan penjawat awam,” katanya.

Sementara itu Perdana Menteri sekali lagi merakamkan penghargaan kepada bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali atas perkhidmatan cemerlang yang telah ditunjukkan selama kira-kira lima tahun sejak dilantik sebagai ke jawatan itu pada 31 Dis 2019.

“Saya doakan semoga beliau terus sukses dalam perjalanan lembaran baharu kehidupan, semestinya sumbangan beliau kepada negara belum bernoktah lagi, cuma berbentuk baharu bukan sebagai penjawat awam,” katanya di hadapan lebih 3,000 penjawat awam yang memenuhi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan