WILAYAH - UTARA > BERITA

Pulau Pinang Akan Bincang Penyelarasan Gaji Penjawat Awam Negeri - Chow

16/08/2024 07:29 PM

GEORGE TOWN, 16 Ogos (Bernama) -- Penyelarasan gaji penjawat awam Pulau Pinang akan dibincangkan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan datang, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau memberikan bayangan akan ada penyelarasan gaji melibatkan penjawat awam negeri itu namun jumlah atau kadar peratusan kenaikan harus diteliti dan dibincangkan terlebih dahulu.

"Kita akan bincang dalam mesyuarat exco yang akan datang untuk melihat macam mana negeri akan respons kepada kenaikan itu kerana bagi penjawat awam dari pusat memang mereka akan menerima penyelarasan berkenaan.

"Tetapi bagi penjawat awam di bawah negeri dan majlis bandar raya serta lain-lain (di Pulau Pinang), kita akan lihat impak kepada kedudukan kewangan untuk membiayai kenaikan itu, kita jangka perlu diadakan (penyelarasan gaji)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) antara IJM Perennial Development Sdn Bhd (IJM Perennial) dengan empat pemain indsutri terkemuka bagi pembekalan infrastruktur telekomunikasi dan Hospitaliti di The Light City hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional manakala tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Pelarasan itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa Satu dan 1 Januari 2026 bagi Fasa Dua.

Mengenai MoU tersebut, Chow berkata pemeteraian adalah antara IJM Perennial bersama Maxis Broadband Sdn Bhd, Globalcomm Telecommunications Sdn Bhd, Galaxy Monyoun Hotel dan Hyatt International-Asia Pacific bagi pembekalan infrastruktur 5G tersedia, perjanjian francais hotel dan pengurusan hotel.

“Mungkin menjelang tahun depan, kita akan menyaksikan beberapa acara pertama dianjurkan Penang Waterfront Convention Centre (PWCC). Fasiliti ini adalah sesuatu yang boleh kita banggakan,” katanya

PWCC adalah sebahagian daripada pembangunan tepi laut Pulau Pinang dan projek itu merupakan usaha sama antara IJM Corporation Bhd (IJM) dengan Perennial Holdings Private Ltd (Perennial Holdings) iaitu pemaju utama bagi The Light City.

Pusat konvensyen terbesar di Pulau Pinang itu dijangka menjadi pusat utama bagi The Light City untuk pertumbuhan sektor persidangan dan pameran (MICE) serta industri pelancongan negeri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan